Skip to main content

Dunia

Amerika, China runding keselamatan maritim di Hawaii

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika, China runding keselamatan maritim di Hawaii
Sebuah kapal pengawal pantai China berhampiran pulau Thitu yang diduduki Filipina (dikenali sebagai Pag-asa di Filipina) di Laut China Selatan yang dipertikaikan pada 3 Jun 2025. (Gambar Fail: AFP/Ted Aljibe)
Diterbitkan : 22 Nov 2025 10:13PM

BEIJING: Tentera Amerika Syarikat dan China minggu ini mengadakan perbincangan keselamatan maritim yang “terus-terang dan membina”, menurut Tentera Laut China pada Sabtu (22 Nov).

Ini sedang kedua-dua kuasa besar itu secara beransur-ansur memulihkan komunikasi antara ketenteraan selepas ketegangan perdagangan selama beberapa bulan.

Mesyuarat peringkat kerja itu diadakan dari 18 hingga 20 November di Hawaii, menurut kenyataan di akaun media sosial rasmi Angkatan Laut Tentera Pembebasan Rakyat.

Pegawai tentera Amerika dan China sebelum ini mengadakan perbincangan pada April - mesyuarat pertama seumpamanya di peringkat kerja mengenai isu ketenteraan sejak penggal kedua Presiden Amerika Donald Trump bermula.

Rundingan dua kali setahun itu dikenali sebagai mesyuarat kumpulan kerja Perjanjian Perundingan Maritim Ketenteraan (MMCA).

“Kedua-dua pihak telah mengadakan pertukaran pandangan yang terus-terang dan membina ... terutamanya bertukar-tukar pandangan mengenai keselamatan maritim dan udara semasa antara China dan Amerika,” kata Angkatan Laut China dalam kenyataannya.

China turut mengkritik operasi kebebasan pelayaran oleh Amerika dalam kenyataan itu.

Operasi tersebut sering dijalankan di Selat Taiwan dan Laut China Selatan - perairan antarabangsa yang didakwa berada di bawah kedaulatan China.

“China ... menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk pencerobohan dan provokasi,” kata Angkatan Laut China dalam kenyataannya, merujuk kepada transit maritim dan penerbangan oleh pasukan Amerika Syarikat itu.

Kedua-dua pihak juga membincangkan “kes biasa antara tentera laut dan udara kedua-dua negara ... bagi membantu pasukan barisan hadapan tentera laut dan udara China dan Amerika berinteraksi dengan lebih profesional dan selamat,” katanya lagi.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Pete Hegseth, sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kegiatan China di Laut China Selatan dan sekitar Taiwan dalam mesyuarat dengan Menteri Pertahanan China, Dong Jun, bulan lalu.

China secara berterusan meningkatkan pengerahan angkatan udara, laut dan pengawal pantainya di sekitar Taiwan yang diperintah secara demokratik, dan yang didakwanya sebagai wilayah miliknya.

Namun, pemerintah Taiwan menolak dakwaan kedaulatan China ke atas pulau itu.

Pentagon pula berusaha meningkatkan komunikasi dengan China berhubung pemodenan ketenteraannya dan kedudukannya di rantau ini, sambil menyeru lebih banyak ketelusan terhadap pembangunan senjata nuklear dan lebih banyak perbincangan dengan komander tentera.

Kumpulan kerja itu akan mengadakan mesyuarat susulan pada 2026, menurut kenyataan itu.

Sumber : Reuters/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita