Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amerika & China berharap agar kestabilan ditingkatkan dalam hubungan dua hala yang sentiasa tegang

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika & China berharap agar kestabilan ditingkatkan dalam hubungan dua hala yang sentiasa tegang

Setiausaha Amerika Antony Blinken dan Naib Presiden China Han Zheng di New York pada 18 Sep 2023. (Gambar: Julia Nikhinson/AFP)

NEW YORK: Diplomat kanan Amerika Syarikat dan Naib Presiden China pada Isnin menyuarakan harapan agar kestabilan ditingkatkan dalam hubungan dua hala yang sentiasa tegang.

Dalam perbincangan peringkat tertinggi yang berlangsung di New York, Setiausaha Negara Amerika, Antony Blinken mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden China Han Zheng di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di sini.

Encik Blinken berkata beliau percaya "diplomasi bersemuka" adalah pendekatan terbaik untuk menangani perbezaan pendapat.

"Saya fikir ini adalah perkara yang baik bahawa kita mempunyai peluang ini untuk meningkatkan lagi hubungan di peringkat tertinggi seperti yang sedia terjalin oleh kedua-dua negara,” kata Encik Blinken kepada Encik Han Zheng semasa memulakan perbincangan bersama utusan China di PBB.

Perbincangan itu juga bertujuan, jelas Encik Blinken, untuk "memastikan kita (Amerika dan China) menjaga komunikasi terbuka dan menunjukkan bahawa kita menguruskan hubungan antara dua negara kita dengan tanggungjawab."

Encik Zheng pula berkata, dua ekonomi terbesar di dunia ini menghadapi "banyak kesukaran dan cabaran."

"Dunia memerlukan hubungan Amerika-China yang sihat dan stabil, yang memberi manfaat bukan sahaja kepada China dan Amerika, tetapi kepada seluruh dunia," katanya.

Pertemuan ini berlaku semasa Amerika Syarikat mengawasi perubahan kedudukan pegawai tertinggi kerajaan di Beijing.

Encik Qin Gang, yang dipilih sendiri oleh Presiden Xi Jinping sebagai Menteri Luar Negeri, secara tiba-tiba digantikan pada Julai lalu oleh penggubal dasar veteran Wang Yi.

Pegawai Amerika pada mulanya mengharapkan Encik Wang Yi akan menghadiri Sidang Kemuncak PBB dan beliau mungkin akan mengadakan pertemuan dengan Presiden Joe Biden.

Bagaimanapun, China sebaliknya mengumumkan Encik Zheng yang kurang dikenali sebagai wakil negara itu.

Tetapi Encik Wang Yi, yang juga Pengarah Dasar Luar Negeri Parti Komunis, telah mengadakan perbincangan pada hujung minggu dengan Penasihat Keselamatan Kebangsaan pentadbiran Biden, Jake Sullivan, di Malta.

Amerika dan China masih berhadapan dengan sejumlah isu termasuk Taiwan, demokrasi berdaulat yang dituntut oleh Beijing dan tidak menolak untuk merebutnya dengan menggunakan kekerasan.

China mendakwa Amerika sedang membangkitkan sentimen menyokong kemerdekaan Taiwan.

Amerika pula mendakwa, negara itu sedang mencari pemeliharaan status quo dan telah meningkatkan sokongan, termasuk pada bulan lalu untuk pertama kali meluluskan bantuan tentera langsung kepada Taiwan, yang secara tradisinya membeli senjata sendiri.

China juga marah dengan sekatan Amerika terhadap pelaburan berkualiti tinggi dan eksport semikonduktor dari Amerika, yang didakwa mereka melakukan tindakan sedemikian untuk memelihara keselamatannya sendiri.

Bagaimanapun, nada Amerika menjadi lebih sivil susulan kunjungan Encik Blinken dan Setiausaha Kewangan Amerika, Janet Yellen yang ke Beijing tahun ini untuk memulihkan semula hubungan yang hampir terhenti semasa pandemik COVID-19.

Pendekatan terhadap China berbeza dengan penolakan Amerika terhadap sebahagian besar dialog dengan Rusia sejak serangan ke atas Ukraine, dengan Encik Blinken dan pegawai-pegawai kanan Amerika yang lain ragu-ragu untuk mengadakan perbincangan dengan Moscow.
Sumber : AFP/AA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan