Skip to main content

Dunia

Amerika, China akan adakan rundingan dagang pada 9 Jun di London

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika, China akan adakan rundingan dagang pada 9 Jun di London

Pelabuhan di Oakland, California, 12 Mei, 2025. (Gambar: REUTERS/Carlos Barria)

Diterbitkan : 07 Jun 2025 07:16AM Dikemas Kini : 07 Jun 2025 07:18AM
WASHINGTON: Tiga daripada pembantu kanan Presiden Amerika Donald Trump akan bertemu dengan rakan-rakan sejawatan mereka dari China di London pada Isnin (9 Jun) bagi rundingan untuk menghuraikan pertikaian perdagangan antara dua ekonomi terbesar di dunia yang telah menjejas pasaran global.

Setiausaha Perbendaharaan Amerika Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer akan mewakili Washington dalam rundingan itu, kata Encik Trump, yang mengumumkan mengenai rundingan itu dalam catatannya di platform Truth Social, tanpa memberi butiran lanjut.

Ia tidak segera jelas siapa yang akan mewakili China.

Kedutaan China di Washington tidak segera memberi respons kepada permintaan komen.

Rumah Putih juga tidak segera menjawab pertanyaan mendapatkan butiran lanjut.

"Mesyuarat itu akan berjalan lancar," kata Encik Trump.

Mesyuarat itu dijadualkan sehari selepas Encik Trump bercakap dengan Presiden China Xi Jinping dalam satu panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu yang jarang dilakukan, selepas berlaku ketegangan perdagangan selama berminggu-minggu.

Encik Trump dan Encik Xi bersetuju untuk mengunjungi satu sama lain dan meminta kakitangan mereka mengadakan rundingan buat sementara waktu.

Kedua-dua negara berdepan tekanan untuk mengurangkan ketegangan, dengan ekonomi global di bawah tekanan selepas China mengawal eksport bahan mineral di mana ia adalah pengeluar utama.

Para pelabur pula secara luas bimbang tentang usaha lebih meluas Encik Trump untuk mengenakan tarif terhadap barangan daripada kebanyakan rakan kongsi perdagangan Amerika.
Sumber : Agensi berita/HA/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita