Skip to main content

Dunia

Amerika cadang tarif sekurang-kurangnya 10% ke atas puluhan rakan dagang berkait buruh paksa

Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Selasa (2 Jun) mencadangkan tarif baharu yang menyasarkan 60 ekonomi atas tuduhan gagal mengambil tindakan terhadap buruh paksa, sedang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berusaha untuk membentuk semula agenda tarifnya selepas berdepan beberapa cabaran dari sudut perundangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika cadang tarif sekurang-kurangnya 10% ke atas puluhan rakan dagang berkait buruh paksa

Beberapa buah kenderaan melalui sebuah kawasan berhampiran Pelabuhan Los Angeles pada 28 Mei 2026 di Los Angeles, California. (Gambar fail: Getty Images menerusi AFP/Mario Tama)

WASHINGTON: Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) pada Selasa (2 Jun) mencadangkan tarif baharu yang menyasarkan 60 ekonomi atas tuduhan gagal mengambil tindakan terhadap buruh paksa, sedang pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, berusaha untuk membentuk semula agenda tarifnya selepas berdepan beberapa cabaran dari sudut perundangan.

Tarif yang dicadangkan itu dalam lingkungan 10 peratus hingga 12.5 peratus, menurut dokumen pemfailan pemerintah, dan akan melalui tempoh maklum balas awam sebelum keputusan muktamad dibuat.

Langkah tersebut diambil beberapa bulan selepas Washington melancarkan siasatan terhadap beberapa rakan dagangnya termasuk China, Australia, Kesatuan Eropah (EU), Jepun, Korea Selatan, Singapura dan Filipina.

Siasatan itu meneliti sama ada negara-negara berkenaan mengambil tindakan terhadap import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa, dan sama ada perkara itu menjejaskan perdagangan Amerika Syarikat.

Pada Selasa, USTR menyatakan bahawa 54 ekonomi “gagal mengenakan dan menguatkuasakan larangan import berkaitan buruh paksa secara berkesan”. Kumpulan itu termasuk China, Vietnam, Taiwan dan Britain.

Enam ekonomi lain - Kanada, Ecuador, EU, Indonesia, Mexico dan Pakistan - pula didapati tidak menguatkuasakan larangan sedemikian secara berkesan.

“Kegagalan rakan dagang utama kami untuk menangani import barangan yang dihasilkan menggunakan buruh paksa adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kata Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer dalam satu kenyataan.

“Keadaan ini mewujudkan situasi di mana para pekerja Amerika terpaksa bersaing di peringkat global dalam medan yang tidak seimbang,” tambah beliau.

Bagaimanapun, tarif yang dicadangkan itu disertakan dengan pelbagai pengecualian melibatkan produk-produk seperti daging lembu, kopi serta beberapa jenis buah-buahan dan kekacang.

Barangan dari Kanada dan Mexico yang mematuhi perjanjian perdagangan bebas Amerika Utara juga akan dikecualikan, begitu juga dengan beberapa produk tekstil dan pakaian.

Orang ramai diundang mengemukakan maklum balas bertulis menjelang 6 Julai, sebelum USTR mengadakan sesi pendengaran.

Selepas Mahkamah Agung membatalkan sebahagian besar tarif yang diperkenalkan Presiden Donald Trump pada Februari, para pegawai Amerika Syarikat melancarkan siasatan perdagangan baharu sebagai langkah ke arah mengenakan tarif yang lebih berkekalan.

Selain siasatan berkaitan buruh paksa, wakil perdagangan Amerika Syarikat itu turut memulakan siasatan berhubung lebihan kapasiti perindustrian.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita