Skip to main content

Dunia

Amerika bersedia kemungkinan serangan besar di Timur Tengah oleh Iran, kata Rumah Putih

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika bersedia kemungkinan serangan besar di Timur Tengah oleh Iran, kata Rumah Putih

Jurucakap keselamatan Rumah Putih, John Kirby. (Gambar fail: Andrew Harnik / GETTY IMAGES NORTH AMERICA / Getty Images via AFP)

WASHINGTON: Jurucakap keselamatan Rumah Putih, John Kirby berkata Iran mungkin menyerang Israel minggu ini.

Bercakap kepada wartawan di Washington pada Isnin (12 Ogos), Encik John Kirby berkata Amerika Syarikat telah membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan serangan besar oleh Iran atau proksi-proksinya di Timur Tengah.

"Kami berkongsi kebimbangan dan jangkaan sama Israel berhubung risiko serangan, mungkin minggu ini," kata Encik Kirby kepada pemberita.

"Kami perlu bersedia untuk apa yang boleh menjadi satu siri serangan yang besar," tambahnya.

Encik Kirby berkata, Amerika telah meningkatkan kehadiran pasukan serantaunya dan turut berkongsi kebimbangan Israel mengenai kemungkinan serangan yang disokong Iran selepas Iran dan Hamas menuduh Israel melakukan pembunuhan seorang pemimpin Hamas di Tehran, bulan lalu.

Israel sejak bulan lalu bersedia untuk serangan besar apabila peluru berpandu membunuh 12 belia di Bukit Golan yang diduduki Israel dan Israel kemudian bertindak balas dengan membunuh seorang komander kanan Hezbollah di Beirut.

Sehari selepas operasi itu, pemimpin politik Hamas Ismail Haniyeh dibunuh di Tehran, sekali gus melaung ikrar Iran untuk membalas dendam terhadap Israel.

"Kami jelas tidak mahu melihat Israel terpaksa mempertahankan diri daripada satu lagi serangan, seperti yang mereka lakukan pada April. Tetapi, jika itu berlaku, kami akan terus membantu mereka mempertahankan diri," kata Encik Kirby.

Pentagon pada Ahad berkata, Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin sudah mengarahkan penempatan kapal selam peluru berpandu ke Timur Tengah dan kapal induk Abraham Lincoln dipercepatkan ke rantau itu.

Namun, seorang pegawai Amerika berkata kepada REUTERS, kapal induk Lincoln kini ada berhampiran Laut China Selatan dan mungkin akan mengambil masa lebih seminggu untuk sampai ke Timur Tengah.

Encik Kirby juga memberi amaran bahawa serangan Iran ke atas Israel boleh memberi kesan kepada rundingan gencatan senjata Gaza yang dijangka disambung, pada Khamis (13 Ogos).

Iran bertekad akan melakukan tindak balas terhadap Israel yang dituduh membunuh pemimpin kumpulan Hamas, Ismail Haniyeh di Tehran, dua minggu lalu.

Dalam masa yang sama, Tehran mengatakan ia tidak mahu mencetuskan perang.
Sumber : Reuters/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita