Skip to main content

Dunia

Amerika akan kurangkan jumlah tentera di Syria

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika akan kurangkan jumlah tentera di Syria

(Gambar: AFP/ALI AL-SAADI)

Diterbitkan : 19 Apr 2025 08:24AM Dikemas Kini : 19 Apr 2025 08:26AM
WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat akan mengukuhkan kehadirannya di Syria dalam masa beberapa minggu atau bulan akan datang, di mana keseluruhan jumlah askar Amerika yang ditempatkan di negara itu mungkin dikurangkan sebanyak separuh, kata ketua jurucakap Pentagon Sean Parnell pada Jumaat (18 Apr).

Kini terdapat kira-kira 2,000 tentera Amerika di Syria yang ditempatkan di beberapa pangkalan, di mana kebanyakannya di bahagian timur laut.

Tentera Amerika telah bekerjasama dengan tentera Syria bagi mencegah kebangkitan semula kumpulan ISIS, yang merampas sejumlah besar kawasan di Iraq dan Syria pada 2014 sebelum ia berundur.

"Proses berasaskan syarat itu akan mengurangkan kehadiran Amerika Syarikat di Syria kepada kurang 1,000 tentera Amerika Syarikat dalam masa beberapa bulan akan datang," kata Encik Parnell dalam satu kenyataan.

Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Pete Hegseth mengarahkan gabungan di bawah Pasukan Bertindak Gabungan Bersama 'Operation Inherent Resolve' ke beberapa lokasi ditetapkan di Syria.

Encik Parnell berkata Pusat Kawalan Amerika Syarikat terus bersedia meneruskan serangan ke atas sisa ancaman kumpulan ISIS di Syria serta bekerjasama dengan rakan-rakan kongsi gabungan untuk meneruskan tekanan terhadap ISIS dan memberi tindak balas terhadap sebarang ancaman pengganas lain.

Baru-baru ini, Amerika Syarikat menghantar pesawat, termasuk pesawat pengebom B-2, kapal perang dan sistem pertahanan udara untuk memperkukuhkan Timur Tengah.

Encik Trump berkata pada Isnin (14 Apr) beliau percaya Iran sengaja melengahkan perjanjian nuklear dengan Amerika Syarikat dan ia mesti menghentikan sebarang usaha untuk mendapatkan senjata nuklear, atau berisiko menghadapi kemungkinan serangan tentera terhadap kemudahan atom Tehran.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita