Skip to main content

Dunia

Amerika akan isi semula Rizab Petroleum Strategik dengan minyak Venezuela: Trump

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Ahad (30 Ogos) bahawa minyak daripada perjanjian yang baru dimeterai dengan Venezuela akan digunakan untuk menambah semula Rizab Petroleum Strategik (SPR).

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika akan isi semula Rizab Petroleum Strategik dengan minyak Venezuela: Trump

Api daripada cerobong pembakaran di loji penapisan Amuay di Los Taques, Venezuela, pada 14 Januari 2026. (Gambar fail: AP/Matias Delacroix)

Diterbitkan : 31 Aug 2026 07:24AM
  • Amerika Syarikat dan Venezuela menandatangani perjanjian tenaga selama 25 tahun untuk membekalkan minyak Venezuela ke Rizab Petroleum Strategik Amerika Syarikat.
  • Presiden Donald Trump menyatakan minyak tersebut akan digunakan untuk mengisi semula rizab yang hampir ke paras terendah dalam 44 tahun akibat gangguan bekalan global.
  • Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez menegaskan perjanjian ini bertujuan meningkatkan pengeluaran minyak, memulihkan ekonomi, dan mengekalkan kedaulatan negara ke atas sumbernya.
  • Perjanjian ini melibatkan pembangunan 17 medan minyak strategik dan lapan blok baharu, dengan hasil dijangka memberi manfaat besar kepada Venezuela dan Amerika Syarikat.
Dijana oleh AI
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata pada Ahad (30 Ogos) bahawa minyak daripada perjanjian yang baru dimeterai dengan Venezuela akan digunakan untuk menambah semula Rizab Petroleum Strategik (SPR). Rizab tersebut menyusut dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini selepas digunakan untuk menangani gangguan bekalan global dan harga bahan api yang tinggi.

Encik Trump berkata dalam satu catatan media sosial bahawa proses "mengisi semula" rizab tersebut akan dimulakan tidak lama lagi. Beliau menyifatkan minyak Venezuela itu sebagai "Hadiah daripada Venezuela kepada Rakyat Amerika Syarikat."

Namun, ia belum jelas seberapa cepat perjanjian dengan Venezuela itu dapat membekalkan minyak kepada rizab tersebut atau memberi manfaat dalam jangka pendek kepada para pemandu di Amerika. Perjanjian yang diumumkan Encik Trump pada Jumaat bertujuan memulihkan industri minyak Venezuela yang terjejas teruk. Namun, pelaburan besar dan kerja-kerja ke atas prasarana diperlukan sebelum pengeluaran dapat ditingkatkan dengan ketara.

Rizab tersebut mengandungi sekitar 290 juta tong minyak setakat 21 Ogos, hampir mencecah paras terendah dalam tempoh 44 tahun. Amerika mengurangkan simpanan tersebut di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden dan Presiden Trump bagi menangani gangguan bekalan global, termasuk pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan perang dengan Iran.

PERJANJIAN SELAMA 25 TAHUN

Pemangku Presiden Venezuela Delcy Rodriguez berkata pada Sabtu bahawa perjanjian tenaga dengan Amerika akan berkuat kuasa selama 25 tahun. Ia menyasarkan peningkatan pengeluaran minyak mentah kepada 1.5 juta tong sehari dan mengekalkan kedaulatan negara tersebut ke atas sumber semula jadinya.

Dalam satu ucapan pada lewat malam, Cik Rodriguez menyifatkan perjanjian itu sebagai "bersejarah" dan mengatakan bahawa ia akan membantu memulihkan ekonomi serta meningkatkan hasil pemerintah. Menurutnya, perjanjian itu juga akan membantu membentuk masa depan negara tersebut.

"Projek dua hala selama 25 tahun ini merangkumi pembangunan 17 medan minyak strategik dengan sasaran pengeluaran lebih 1.5 juta tong sehari," kata Cik Rodriguez kepada stesen penyiaran pemerintah VTV.

"Angka itu hanya melibatkan perjanjian dua hala antara Venezuela dengan Amerika Syarikat."

Cik Rodriguez menambah bahawa sasaran 1.5 juta tong sehari itu hanyalah satu sasaran awal. Pelan lebih luas tersebut turut merangkumi pembangunan lapan blok minyak baharu yang belum pernah dibangunkan, sebagai sebahagian daripada usaha memperluas sektor tenaga negara tersebut.

Venezuela mempunyai rizab minyak yang terbukti terbesar di dunia. Namun, negara itu hanya menghasilkan sekitar 1.25 juta tong sehari, jauh di bawah potensinya, selepas bertahun-tahun dibelenggu kekurangan pelaburan, salah urus dan sekatan yang dikenakan ke atasnya.

Cik Rodriguez berkata perjanjian itu boleh menjana sekitar AS$209 bilion (S$266.29 bilion) dalam hasil bagi pemerintah Venezuela, berdasarkan harga penanda aras minyak AS$65 (S$82.82) setong. Namun, beliau mengakui harga minyak mentah boleh berubah-ubah. Menurutnya, kira-kira AS$19 (S$24.21) daripada setiap tong minyak yang dihasilkan dan dijual di bawah perjanjian tersebut akan disalurkan secara langsung kepada Venezuela, sekali gus meningkatkan hasil pemerintah dengan ketara.

Beliau berkata negara itu akan terus mengekalkan "pemilikan dan kedaulatan" ke atas sumber semula jadinya, "sambil memanfaatkan modal, teknologi dan kepakaran operasi untuk menyokong pemulihan industri strategik yang terjejas teruk akibat sekatan."
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita