Skip to main content

Dunia

Amerika akan hulur AS$73 juta bantu pelarian Rohingya, kata Jabatan Negara

Pentadbiran Presiden Donald Trump menyatakan pada Khamis (27 Mac) ia akan menghulurkan bantuan kewangan baharu bernilai AS$73 juta kepada para pelarian Rohingya melalui Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di tengah-tengah kebimbangan bahawa pemotongan bantuan boleh memburukkan lagi krisis penduduk tanpa kerakyatan terbesar di dunia itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Amerika akan hulur AS$73 juta bantu pelarian Rohingya, kata Jabatan Negara

Pelarian Rohingya berkumpul di kem pelarian di Cox's Bazar, Bangladesh, pada 15 Mac 2025. (Gambar fail: REUTERS/Mohammad Ponir Hossain)

Diterbitkan : 28 Mar 2025 09:05AM Dikemas Kini : 28 Mar 2025 09:06AM
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump menyatakan pada Khamis (27 Mac) ia akan menghulurkan bantuan kewangan baharu bernilai AS$73 juta kepada para pelarian Rohingya melalui Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), di tengah-tengah kebimbangan bahawa pemotongan bantuan boleh memburukkan lagi krisis penduduk tanpa kerakyatan terbesar di dunia itu.

"Sokongan makanan dan pemakanan melalui @WFP ini akan menyediakan bantuan makanan dan pemakanan yang sangat diperlukan untuk lebih sejuta orang," kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Tammy Bruce dalam catatan di X. "Adalah penting untuk rakan-rakan kongsi antarabangsa kami terlibat dengan berkongsi beban melalui bantuan yang menyelamatkan nyawa seperti ini."

Bantuan itu diumumkan sedang Presiden Donald Trump dan pentadbirannya melaksanakan pemotongan besar-besaran pada bantuan asing sebagai sebahagian daripada agenda "America First" beliau dan usaha yang lebih meluas untuk mengurangkan perbelanjaan persekutuan secara drastik dan membongkar ketirisan perbelanjaan pemerintah.

Dua agensi PBB telah memberi amaran bahawa defisit pembiayaan akan mengekang bantuan untuk Rohingya di Bangladesh yang melarikan diri daripada keganasan di Myanmar sejak lapan tahun lalu.

Para pelarian bimbang pemotongan dana akan memburukkan kelaparan, mengurangkan khidmat jagaan kesihatan kritikal dan jenayah bahan api.

Washington telah menjadi penyedia bantuan terbesar kepada pelarian Rohingya, menyumbang hampir AS$2.4 bilion sejak 2017, menurut Jabatan Negara.

Tetapi pembekuan dana baru-baru ini selepas Encik Trump mengambil alih jawatan pada Januari telah menyebabkan sekurang-kurangnya lima hospital menghadkan perkhidmatan.

Encik Trump dan sekutunya, hartawan Elon Musk telah bertindak untuk menutup USAID, iaitu agensi bantuan asing utama Amerika dan menggabungkan saki-bakinya dalam Jabatan Negara, memecat beratus-ratus kakitangan dan kontraktor serta menamatkan perkhidmatan berbilion dolar yang berpuluh juta orang di seluruh dunia bergantung kepada bantuan tersebut.

Setiausaha Negara Marco Rubio pada Februari memberikan pengecualian untuk semua bantuan yang menyelamatkan nyawa dan mana-mana kos pentadbiran yang munasabah, untuk menghulurkan bantuan tersebut.

Para pegawai pentadbiran Encik Trump yang menyelia pemansuhan USAID bagaimanapun telah mencadangkan agar bantuan untuk Rohingya dihentikan secara berperingkat, lapor Reuters awal bulan ini.
Sumber : Reuters/AW/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita