Amerika akan batal status sah sementara bagi lebih 500,000 warga hijrahan
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump akan melucutkan lebih 530,000 migran daripada status sah sementara dan jika inisiatif itu diluluskan, program tinggal sementara mereka di negara itu akan tamat pada 24 April, lapor NBC yang memetik satu dokumen, menurut Sputnik/RIA Novosti.
Langkah yang akan diambil pentadbiran Presiden Donald Trump menyasarkan warga hijrahan dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela. (Gambar: AFP/ Roberto Schmidt)
Saluran berita itu melaporkan bahawa keputusan terbabit memberi kesan kepada warga hijrahan yang memasuki Amerika melalui program khas yang diperkenalkan mantan Presiden Joe Biden pada 2023.
Program itu membenarkan warga asing memasuki negara tersebut dengan sokongan penaja dari Amerika dan bekerja di negara itu selama dua tahun.
Menurut NBC, pada 2024, pihak berkuasa Amerika menghentikan sementara kemasukan warga hijrahan di bawah program itu berikutan kebimbangan bahawa ia disalah guna bagi tujuan penipuan.
Pentadbiran Encik Trump berhasrat untuk membatalkan status sementara bagi lebih 530,000 orang dari Cuba, Haiti, Nicaragua dan Venezuela yang memasuki Amerika melalui program tersebut, menurut laporan penyiar itu.
Dalam pada itu, NBC turut melaporkan bahawa dokumen berkaitan dijangka diterbitkan pada Selasa (25 Mac), dan program tinggal sementara bagi warga hijrahan di Amerika akan tamat pada 24 April.
Bagaimanapun, warga hijrahan yang telah memperoleh status imigresen sah melalui program tersebut tidak diwajibkan untuk meninggalkan negara itu.
Pada hari perasmiannya, Presiden Trump berjanji untuk segera menghentikan imigresen haram dan memulakan proses pengusiran jutaan warga hijrahan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.