Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

"Amat tragis": Lelaki S'pura mengaku salah bunuh isteri semasa cuti di Britain

Anggaran Waktu Membaca:
"Amat tragis": Lelaki S'pura mengaku salah bunuh isteri semasa cuti di Britain
Diterbitkan : 10 Aug 2022 09:13AM Dikemas Kini : 10 Aug 2022 09:13AM

NEWCASTLE: Seorang lelaki rakyat Singapura pada Selasa (9 Ogos) mengaku bersalah membunuh isterinya semasa mereka bercuti di Britain pada 2021.

Peguam bela bagi Fong Soong Hert, yang juga dikenali sebagai Alan Fong, memberitahu Mahkamah Newcastle Crown di timur laut England bahawa dia kini menerima "tanggungjawab jenayah yang sewajarnya" atas tindakan pada malam isterinya meninggal dunia.

Semasa perbicaraan bermula pada Isnin (8 Ogos), pasukan Fong berhujah bahawa dia harus didapati bersalah atas tuduhan membunuh Pek Ying Ling, atau Evelyn Pek, atas sebab "tanggungjawab menyusut".

Cik Pek dijumpai mati di County Aparthotel pada 6 Disember 2021.

Pada Selasa, selepas kelengahan pada permulaan prosiding, Hakim Paul Sloan QC meminta defendan berusia 51 tahun itu berdiri, dan kerani membacakan pertuduhan, yang mana Fong kemudian menjawab: "(Saya) mengaku bersalah".

Dia dijadual dijatuhi hukuman pada Jumaat (12 Ogos). Hukuman minimum bagi kesalahan membunuh adalah penjara seumur hidup.

Tiga anak lelaki pasangan tersebut berada di bahagian belakang mahkamah sedang bapa mereka mengaku bersalah atas pertuduhan-pertuduhan yang dibacakan.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata: "Kami patah hati selepas kehilangan ibu kami, tetapi kini kami hanya mahu memberikan sokongan yang diperlukan kepada bapa kami."

Ketua Inspektor Detektif Matt Steel, yang juga pegawai kanan siasatan, menyifatkan kes tersebut sebagai " amat tragis".

Beliau memuji anak-anak pasangan tersebut kerana "tenang dan atas bantuan mereka kepada polis sepanjang tempoh paling sukar ini dalam hidup mereka".

Beliau menambah: "Kami akan menyokong mereka dalam apa cara sekalipun sedang mereka menangani kesedihan dan memproses apa yang sudah berlaku.

"Kami meminta semua pihak supaya menghormati privasi mereka pada masa-masa sukar ini. Kami mahu menjelas bahawa kami tidak akan bertolak ansur sama sekali terhadap penderaan atau keganasan domestik dalam sebarang bentuk.

"Apabila insiden seperti ini berlaku kami komited membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan."

Pengakuan bersalah Fong itu dibuat pada hari kelima perbicaraan. Prosiding mahkamah ditangguhkan pada Khamis (4 Ogos) dan Jumaat (5 Ogos) kerana seorang peguam tidak sihat.

Mewakili pihak pendakwa, Peter Makepeace QC memberitahu mahkamah pada minggu lalu bahawa Fong dan Cik Pek berada di Britain menyusuli lawatan ke Dubai dan Eropah.

Mereka merancang untuk melakukan perjalanan ke seluruh Scotland tetapi semasa di Isle of Skye, iaitu sebuah pulau kecil di negara itu, Fong terjatuh.

Semasa berjalan-jalan pada satu petang, dia hilang imbangan dan terjatuh ke dalam tambak yang curam.

Mahkamah diberitahu ambulans dihubungi dan Fong diberikan beberapa ubat penghilang kesakitan oleh paramedik sebelum dibawa ke hospital untuk diperiksa.

Beberapa hari kemudian, pasangan itu melakukan perjalanan ke Newcastle bersama anak mereka  Alonzo Fong dan menginap di County Aparthotel di Westgate Road.

Di mahkamah, rakaman penggilan yang dibuat oleh Alonzo kepada khidmat kecemasan sekitar pukul 7.00 pagi pada 6 Disember dimainkan.

Menerusi rakaman tersebut Alonzo berkata: "Okay, dia beritahu saya, saya rasa mereka berkelahi dan dia hilang kawalan diri."

Mahkamah juga mendengar keterangan daripada Dr Jennifer Bolton yang menjalankan bedah siasat ke atas mayat Cik Pek.

Ibu tiga anak itu memakai seluar, baju dan pakaian dalam hitam, yang dicemari air kencing, semasa dijumpai.

Pakar patologi forensik berkata 11 kesan lebam dan pendarahan dapat dilihat pada bahagian dagu, bahu, lengan dan kaki Cik Pek.

Dua lebam besar dilihat pada setiap bahu, yang menurut Dr Bolton, beliau percayai ia berkemungkinan timbul pada waktu kejadian.

Beliau menambah: "Ini mewujudkan kemungkinan (Fong) melutut di atas (Cik Pek) sambil bantal ditekap pada bahagian muka Cik Pek."

Fong menyifatkan perkahwinannya sebagai "indah", "aman" dan "sangat bahagia".

Apabila ditanya oleh pihak pendakwa, Fong mendakwa dia tidak dapat ingat sebarang perincian insiden membunuh isterinya.

Dia berkata: "Saya tidak tahu" atau "Saya tidak boleh ingat" kepada kebanyakan soalan yang diajukan kepadanya.

Sumber : CNA/NK/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa