AS 'amat terganggu' laporan rogol secara sistematik Muslim di kem-kem China
Amerika Syarikat menyuarakan rasa "terganggu amat mendalam" berkaitan laporan-laporan mengenai perbuatan rogol dan penderaan seksual secara sistematik terhadap wanita-wanita di kem tahanan etnik Uighur dan Muslim lain di wilayah Xinjiang China.
(Gambar: AFP)
WASHINGTON: Amerika Syarikat menyuarakan rasa "terganggu amat mendalam" berkaitan laporan-laporan mengenai perbuatan rogol dan penderaan seksual secara sistematik terhadap wanita-wanita di kem tahanan etnik Uighur dan Muslim lain di wilayah Xinjiang China, dan kekejaman yang dilakukan di sana mesti berdepan dengan akibat yang serius, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Rabu (3 Feb).
Satu laporan BBC pada hari Rabu menyatakan bahawa wanita-wanita di kem-kem tersebut menjadi mangsa rogol, penderaan seksual dan penyeksaan. Stesen penyiar Britain itu melaporkan "beberapa bekas tahanan dan seorang pengawal memberitahu BBC bahawa mereka mengalami atau melihat bukti sistem rogol, penderaan seksual dan penyeksaan beramai-ramai yang tersusun".
Ketika diminta mengulas, seorang jurucakap Jabatan Negara berkata: "Kami sangat terganggu dengan laporan, termasuk pengakuan saksi, mengenai pemerkosaan dan penderaan seksual secara sistematik terhadap wanita di kem tahanan etnik Uighur dan Muslim lain di Xinjiang."
Jurucakap itu menegaskan tuduhan Amerika Syarikat bahawa China telah melakukan "jenayah terhadap kemanusiaan dan penghapusan kaum" di Xinjiang dan menambah: "Kekejaman ini mengejutkan hati nurani dan mesti berdepan akibat yang serius."
Pegawai itu berkata bahawa China perlu membenarkan "siasatan segera dan bebas oleh pemerhati antarabangsa "terhadap tuduhan rogol itu "di samping kekejaman lain yang dilakukan di Xinjiang".
Beijing menafikan dakwaan penderaan di Xinjiang, dan telah menegaskan kompleks yang dibangunkannya di kawasan itu menyediakan latihan kejuruan untuk membantu membasmi fahaman pelampau dan pemisah. Mereka yang berada di pusat itu sejak itu telah "lulus", tegasnya.
Jurucakap Kementerian Luar China Wang Wenbin berkata bahawa laporan BBC itu "tidak berlandaskan fakta sama sekali" dan menuduh bahawa orang-orang yang diwawancara "terbukti berkali-kali" sebagai "pelakon yang menyebarkan maklumat palsu".
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, yang memegang jawatan sejak 20 Januari, mengesahkan dakwaan pada hari sebelumnya oleh pentadbiran Trump yang lepas, bahawa China telah melakukan penghapusan kaum di Xinjiang.
Tahun lalu, laporan oleh seorang penyelidik Jerman yang diterbitkan oleh kumpulan pemikir Washington menuduh China melakukan pemaksaaan pemandulan, pengguguran dan perancangan keluarga terhadap kaum minoriti Muslim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.