Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amaran taufan dikeluarkan di Korea Selatan; perniagaan digesa henti operasi

Anggaran Waktu Membaca:
SEOUL: Korea Selatan mengeluarkan amaran cuaca dan menaikkan tahap amaran taufan pada Isnin (5 Sep) ketika Taufan Hinnamnor menghampiri.

Hujan lebat dan angin kencang melanda bahagian selatan negara itu.

Taufan bergerak ke utara pada kelajuan 19 kilometer sejam (kmj), dijangka melanda 90 kilometer (km) barat daya bandar pelabuhan Busan pada awal Selasa (6 Sep), selepas melanda perairan Pulau Jeju sekitar Isnin tengah malam (5 Sep), lapor Reuters.

"Angin kencang dan hujan lebat dijangkakan di merata negara sehingga Selasa (6 Sep) akibat taufan, manakala beberapa tempat akan mengalami ombak tinggi melepasi tembok penahan dan jalan di sekitar pantai dilanda ribut dan tsunami," menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Amaran dikeluarkan di seluruh bandar selatan, termasuk Gwangju, Busan, Daegu Ulsan dan di pulau selatan Jeju.

Ibu Pejabat Tindakan Bencana dan Keselamatan Pusat pada Ahad (4 Sep) menaikkan tindak balas kecemasannya ke tahap tertinggi buat kali pertama dalam tempoh lima tahun untuk taufan.

Bandar pelabuhan dan kawasan jirannya itu menerima hujan sepanjang hujung minggu lalu dengan lebih banyak hujan diramalkan pada Isnin (5 Sep) dan Selasa (6 Sep), lapor Reuters.

Pada Ahad (4 Sep), Presiden Yoon Suk-yeol mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa untuk mengkaji sistem tindak balas, sekaligus berjanji akan berusaha sedaya upaya untuk mengehadkan kerosakan akibat taufan itu.

Media tempatan melaporkan pada Ahad bahawa tiga pembuat kapal Korea Selatan negara itu - Korea Shipbuilding and Offshore Engineering, Daewoo Shipbuilding and Marine Engineering, dan Samsung Heavy Industries - dijangka menghentikan operasi pada Selasa (6 Sep), lapor Reuters.

Perniagaan lain seperti pembuat keluli Posco juga dijangka menggantung operasi, manakala syarikat penerbangan utama seperti Korean Air Lines dan Asiana Airlines dilaporkan membatalkan beberapa penerbangan yang berlepas selepas pukul 1.00 tengah hari Isnin (5 Sep).
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan