Skip to main content

Dunia

Amaran keras Trump kepada Iran: "Jangan ancam AS lagi!"

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran keras kepada Iran, negara teluk itu akan menemui kehancuran jika konflik tercetus dengan Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 May 2019 03:59PM Dikemas Kini : 20 May 2019 09:34PM

BAGHDAD, IRAQ: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memberi amaran keras kepada Iran, negara teluk itu akan menemui kehancuran jika konflik tercetus dengan Amerika Syarikat.

“Jika Iran mahu bergaduh, ia akan menjadi pengakhiran rasmi buat negara itu. Jangan sekali-kali mengancam Amerika Syarikat lagi,” katanya menerusi Twitter.

Ketegangan antara Washington dan Tehran semakin meningkat dengan satu serangan roket dilancarkan di Baghdad, yang gugur di zon hijau ibu kota Iraq itu.

Roket tersebut gugur di Zon Hijau Baghdad, kurang satu kilometer dari Kedutaan Amerika di Iraq.

Mujur tiada laporan tentang kerosakan atau kemalangan jiwa.

Menurut Washington, kumpulan-kumpulan militan yang disokong Iran mungkin menyasarkan kepentingan Amerika sebagai tindak balas terhadap langkah pentadbiran Trump meningkatkan tekanan ke atas Iran, dari segi ekonomi dan ketenteraan.

Presiden Trump bagaimanapun tidak menyatakan sama ada amaran yang dibuatnya sebagai respon kepada serangan roket di Baghdad.

Tetapi minggu lalu, Washington memindahkan sebahagian kakitangan daripada Kedutaan Amerika di Baghdad dan konsulatnya di Erbil.

Ini menyusuli keputusannya untuk mengerahkan kapal induk dan jet-jet pejuang Amerika ke kawasan teluk sebagai respons Rumah Putih kepada apa yang disifatkannya sebagai "ancaman dari Iran ke atas Amerika."

Ada pemimpin Kongres yang prihatin tentang kemungkin meningkatnya ketegangan ketenteraan.

Menteri Luar Iran mengenepikan kemungkinan perang baru di rantau itu Sabtu lalu dengan berkata,Tehran enggan membiarkan ia berlaku dan tiada pihak beranggapan republik Islam itu boleh diserang.

“Kami pasti tidak akan berlaku peperangan kerana tiada siapa mahu membiarkan ia berlaku atau ada pihak beranggapan mereka mampu berhadapan dengan Iran di rantau ini,” kata Mohammad Javad Sharif kepada agensi berita rasmi, IRNA ketika di akhir lawatan ke China.

Semalam (19 Mei) Raja Saudi menyeru agar satu sidang tergempar melibatkan negara-negara teluk diadakan di Makkah, hujung bulan ini.

Riyadh yang menegaskan ia bukan mahukan perang tetapi bersedia mempertahankan kepentingannya, menuduh Iran mengarahkan dua serangan dron keatas stesen-stesen pam minyak di loji Arab Saudi, Selasa lalu.

Dua hari sebelumnya, empat kapal komersil termasuk dua kapal tangki minyak Saudi, mengalami kerosakan akibat letupan bom di perairan Amiriah Arab Bersatu (UAE). 

Sumber : AFP/AA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita