Skip to main content

Dunia

Amaran kepada peniaga JB: Jangan ambil kesempatan naik harga kerana VTL darat

Peniaga di sekitar bandar raya ini diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan harian susulan pelaksanaan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) darat sejak Isnin lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
Amaran kepada peniaga JB: Jangan ambil kesempatan naik harga kerana VTL darat

Tempat makan di Jalan Dhoby. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 04 Dec 2021 03:19PM Dikemas Kini : 04 Dec 2021 03:25PM

JOHOR BAHRU: Peniaga di sekitar bandar raya ini diingatkan agar tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan keperluan harian susulan pelaksanaan Perjalanan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) darat sejak Isnin lepas.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor Mohd Hairul Anuar Bohro berkata pihaknya akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa, bagi memastikan perkara itu tidak berlaku ketika pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura.

“Sekiranya berlaku kenaikan harga tinggi mendadak akibat pembukaan VTL darat, kita akan mengambil tindakan segera dan tegas mengikut akta sedia ada, ini kita beri jaminan kepada pengguna.

“Pengguna diminta membuat aduan terus kepada KPDNHEP jika ada kenaikan harga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Johor, di sebuah pasar raya di Taman Daya di sini hari ini (4 Dis).

Encik Mohd Hairul Anuar berkata demikian ketika ditanya sama ada peniaga akan menaikkan harga atau sebaliknya susulan pelaksanaan VTL darat dan tindakan yang bakal dikenakan terhadap mereka.

Beliau berkata pengguna perlu mengamalkan perbelanjaan secara bijak dan sentiasa membuat perbandingan harga sebelum membuat sebarang pembelian.

Pada 29 Nov lepas, VTL darat melalui Tambak Johor dibuka serentak dengan VTL udara antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita