Amaran IATA: Periksa pesawat, latih semula juruterbang sebelum sambung semula penerbangan
Para pengawal selia, syarikat insurans dan pakar memberi amaran kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya berhati-hati apabila mengaktifkan semula pesawat-pesawat yang terbiar dalam simpanan bagi tempoh yang lama semasa pandemik COVID-19.

(Gambar: Reuters)
SYDNEY: Para pengawal selia, syarikat insurans dan pakar memberi amaran kepada syarikat-syarikat penerbangan supaya berhati-hati apabila mengaktifkan semula pesawat-pesawat yang terbiar dalam simpanan bagi tempoh yang lama semasa pandemik COVID-19, sambil memetik kemungkinan berlaku kekaratan pada tahap kemahiran juruterbang, kesilapan pada kerja-kerja penyenggaraan dan bahkan sarang serangga yang mungkin menyekat sensor utama.
Jumlah besar pesawat yang tidak melakukan penerbangan disebabkan oleh perintah berkurung dan penutupan sempadan akibat COVID-19 menjejas teruk pengangkutan udara - pada satu ketika menjejas dua pertiga daripada jumlah pesawat di seluruh dunia - sehingga menimbulkan lonjakan pada bilangan masalah yang dilaporkan sedang syarikat-syarikat penenerbangan cuba menyambung semula perjalanan udara.
Jumlah kes pendaratan "tidak stabil" atau tidak diuruskan dengan baik meningkat dengan mendadak pada tahun ini, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA). Kesilapan seperti itu boleh mengakibatkan pendaratan yang sukar, terlajak semasa melakukan pendaratan di landasan atau pesawat terhempas.
Bimbang dengan data IATA, syarikat-syarikat insurans turut mempersoalkan syarikat-syarikat penerbangan sama ada mereka menyediakan latihan tambahan bagi para juruterbang mereka dengan tumpuan dikhususkan kepada pendaratan pesawat, kata Gary Moran, ketua penerbangan Asia di syarikat insurans Aon PLC.
"Mereka ingin mengetahui tentang keadaan latihan," katanya.
Menurut pembuat pesawat Airbus, kategori terbesar kemalangan maut boleh dikesan dari saat sesebuah pesawat mengurangkan kelajuan ketika menghampiri lapangan terbang, sementara jumlah terbesar nahas yang tidak membawa maut berlaku semasa melakukan pendaratan.
Pada Mei, 97 orang terbunuh apabila sebuah pesawat Pakistan International Airlines terhempas gara-gara pesawat tidak berada dalam keadaan stabil ketika melakukan pendaratan.
Seramai 18 orang maut apabila pesawat Air India Express terhempas ketika sedang mendarat pada Ogos, juga akibat masalah pendaratan yang tidak stabil.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.