Amaran hujan lebat tahap jingga di Kelantan, Terengganu
Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga (buruk) bagi seluruh negeri Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan mulai hari ini sehingga Rabu (7 Nov).
Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Mohd Rasfan)
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat jingga (buruk) bagi seluruh negeri Terengganu dan beberapa kawasan di Kelantan mulai hari ini sehingga Rabu (7 Nov).
Menurut kenyataan jabatan itu, kawasan di Kelantan yang terbabit ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Pasir Puteh, Machang dan Kuala Krai.
Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan lebat berserta angin kencang peringkat kuning (waspada) di Gua Musang, Kelantan serta Kuantan dan Pekan di Pahang bagi tempoh sama.
Amaran tahap kuning itu juga turut dikeluarkan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Hulu Perak di Perak bagi tempoh Rabu (7 Nov) dan Khamis (8 Nov).
Angin kencang dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka melanda perairan Pantai Timur Semenanjung sehingga Khamis (8 Nov), menurut kenyataan itu.
Selain itu, kawasan pantai di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak terdedah kepada kenaikan paras air laut susulan fenomena air pasang besar yang diramal berlaku pada Rabu (7 Nov) hingga Jumaat (9 Nov) ini.
Amaran peringkat kuning (waspada) adalah tidak kritikal yang melibatkan hujan yang kadangkala sederhana dan lebat manakala peringkat jingga (buruk) juga tidak kritikal dengan hujan sederhana dan lebat yang berterusan dan peringkat merah (bahaya) adalah amaran peringkat tertinggi dengan hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir teruk.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.