Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi beberapa negeri di M'sia

(Gambar: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Sabtu (21 Jan) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 2.00 petang, MetMalaysia meramalkan hujan berterusan akan melanda Kelantan dan beberapa kawasan di Terengganu iaitu Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang sehingga Ahad (22 Jan).
Selain itu, MetMalaysia turut menjangkakan keadaan cuaca sama sehingga 25 Januari bagi Dungun dan Kemaman di Terengganu, Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) serta Johor (Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
Hujan berterusan juga dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, dan Marudi), serta di Sabah (Tambunan, Tawau, Lahad Datu, Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat) pada 23 hingga 25 Januari.
Dalam pada itu, jabatan tersebut pada Sabtu turut mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang membabitkan enam negeri dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya hingga pukul 1.00 tengah hari.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada pukul 9.45 pagi Sabtu, MetMalaysia memaklumkan negeri yang terlibat ialah Kedah meliputi Padang Terap, Sik dan Baling; Perak (Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera).
Selain itu, amaran itu juga dikeluarkan untuk kawasan Selangor (Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang).
Di Negeri Sembilan meliputi Jelebu, Seremban dan Jempol serta Sabah di kawasan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Tawau dan Kunak), Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.