Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amaran China petanda jelas negara itu harus dipandang serius kuasa barat, kata pakar politik Dr Bilveer

Kehebatan negara China sekarang ini bukan lagi seperti yang dahulu kerana kekuatan negara itu sudah meliputi bidang ekonomi, tentera serta teknologi nuklear. Ini merupakan satu petanda jelas bahawa negara itu akan terus menjadi antara kuasa terbesar dunia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kehebatan negara China sekarang ini bukan lagi seperti yang dahulu kerana kekuatan negara itu sudah meliputi bidang ekonomi, tentera serta teknologi nuklear. Ini merupakan satu petanda jelas bahawa negara itu akan terus menjadi antara kuasa terbesar dunia.

Demikian pandangan dikongsikan pengamat politik Dr Bilveer Singh kepada BERITAmediacorp pada Khamis (1 Julai) berkenaan sambutan ulang tahun ke-100 Parti Komunis China (CCP).

Semasa menyampaikan ucapan sempena detik bersejarah itu, Presiden China Xi Jinping juga menekankan bahawa kuasa asing tidak akan dibiarkan membuli negara berkenaan.

Mesej jelas itu, kata Dr Bilveer, juga membawa makna bahawa China sudah sampai ke satu tahap yang baru dan kedudukan negara itu harus dipandang serius di mata dunia, khususnya kuasa-kuasa barat seperti Amerika Syarikat.

"Ini adalah satu-satunya mesej beliau yang paling penting. Bukan hanya nak mengatakan ‘Jangan Membuli Saya’, tetapi ini adalah negara kuat di dunia apa lagi pada hari ini. Jadi ini bagi saya adalah mesej yang paling penting daripadanya.

"Bukan hanya bicara tentang jangan buli tetapi juga siapa kita? Kita adalah negara besar, apa lagi yang sedang maju untuk menjadi lebih besar daripada apa yang kita ada. Luar biasa itu," kata Dr Bilveer yang juga merupakan Timbalan Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS).

Dr Bilveer menambah langkah China itu sekaligus memberi isyarat bahawa ketegangan antara negara itu dengan Amerika Syarikat berhubung isu Taiwan, Laut China Selatan termasuk cara pengurusan COVID-19 "tidak akan diterima lagi".

BAGAIMANA PENCAPAIAN CHINA MENJEJAS ASEAN?

Namun begitu, "amaran" tersebut membawa kesan sampingan seperti membuat negara-negara anggota ASEAN berdepan dengan cabaran besar dalam menjalinkan hubungan antara kedua-dua kuasa besar dunia itu, menurut Dr Bilveer.

Lantaran itu, beliau berpendapat amat penting sekali untuk ASEAN kekal bersatu hati dan terus melindungi kepentingan mereka sendiri meskipun akan ada anasir-anasir asing yang mahu memperjuangkan kepentingan masing-masing.

"Jadi dasar dan senario ASEAN adalah mencari jalan tengah supaya kita masih relevan. Itu sesuatu dasar yang lama dan akan berterusan kerana kalau kita memihak, kita rugi. Jadi itulah strategi ASEAN sampai sekarang hingga masa depan yang akan berlaku," katanya.

Ini kerana, menurut Dr Bilveer, ASEAN seperti "tersepit antara dua arus yang kuat" dan perkara tersebut membuat ASEAN dalam kedudukan bahaya untuk mengorak langkah.

Beliau berkata: "Hendak menentukan haluan sukar kerana kesempitan itu juga luar biasa dan sulit tetapi kekuatan persatuan, kepentingan rantau ini adalah ini bukan satu negara tapi 10 negara,"

"Jadi kalau negara luar mahu mementingkan apa lagi kepentingan mereka, kalau mahu mengadakan hubungan yang menguntungkan, jangan cuba memecahkan kita dari dalam. Baik untuk China dan juga Amerika Syarikat."

IDENTITI NEGARA ITU PENTING

Apabila ditanya apa yang harus difahami rakyat Singapura tentang kuasa China yang semakin meluas itu, Dr Bilveer berpendapat amat penting sekali rakyat memahami identiti mereka dan negara.

Perkara itu, disifatkan Dr Bilveer, sebagai satu kunci baik untuk Singapura dan China mencapai kemajuan dalam hubungan dua hala pada masa hadapan.

"Bagi saya isu yang paling penting adakah ini negara China atau satu negara di rantau Asia Tenggara tetapi bermajoriti China," ujar beliau.

Maka itu jika rakyat memahami bahawa Singapura berbeza daripada China dan mempunyai identiti tersendiri, perkara itu akan membolehkan hubungan muhibah dua hala terjalin.

"Kalau itu falsafah kita, dasar kita bahawa ini sebuah negara di Asia Tenggara dan bukan negara China serta tidak ada negara lain di dunia ini seperti Singapura, apa lagi China yang boleh mencari keuntungan di sini.

"Ini akan menguntungkan kita, menguntungkan China dan masa depan kita itu baik. Jadi siapa kita, apa label kita adalah kunci untuk kita dan untuk China, untuk masa depan," jelas Dr Bilveer. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan