Amaran bazar Aidilfitri di Pahang akan ditutup 3 hari jika ada kes COVID-19
Kerajaan Pahang memberi amaran bahawa bazar Aidilfitri di negeri itu akan ditutup selama tiga hari jika terdapat pengunjung, peniaga atau petugas disahkan positif COVID-19.

(Gambar: BERNAMA)
KUANTAN: Kerajaan Pahang memberi amaran bahawa bazar Aidilfitri di negeri itu akan ditutup selama tiga hari jika terdapat pengunjung, peniaga atau petugas disahkan positif COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Abd Rahim Muda berkata penutupan itu adalah bagi tujuan kerja-kerja pembersihan dilakukan.
Beliau berkata pengunjung bazar yang membawa kanak-kanak di bawah umur 12 tahun atau warga emas juga perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap risiko keselamatan dan kesihatan golongan tersebut.
"Setiap lot peniaga hanya dibenarkan menerima seorang pelanggan atau satu keluarga dalam satu-satu masa bagi mengelakkan kesesakan. Peniaga pakaian dan kasut juga perlu memastikan pelanggan tidak mencuba barangan jualan," katanya menerusi kenyataan hari ini (24 Apr).
Encik Abd Rahim menambah kerajaan Pahang bersetuju membenarkan bazar Aidilfitri beroperasi mulai pukul 12.00 tengah hari hingga 2.00 pagi, berdasarkan keputusan kerajaan Persekutuan melanjutkan waktu operasi perniagaan.
Semua pengunjung, peniaga dan petugas bazar katanya juga wajib melakukan pemeriksaan suhu badan dan imbasan Kod QR MySejahtera selain menyediakan cecair pembasmi kuman di pintu masuk dan keluar.
Selain itu, hanya individu dengan suhu badan di bawah 37.5 darjah selsius akan dibenarkan masuk ke kawasan bazar dan setiap pengunjung termasuk kanak-kanak diwajibkan memakai pelitup muka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.