Skip to main content

Dunia

Amaran banjir dikeluarkan selepas Taufan Zelia badai barat laut Australia

Anggaran Waktu Membaca:
Amaran banjir dikeluarkan selepas Taufan Zelia badai barat laut Australia

Pokok tumbang akibat Taufan Zelia di Port Headland, barat laut Australia. (Gambar: Bianca Katai/Facebook/AFP)

Diterbitkan : 16 Feb 2025 10:36AM Dikemas Kini : 16 Feb 2025 10:39AM
SYDNEY: Amaran banjir dikeluarkan di barat laut Australia selepas taufan tropika melanda pada Jumaat (14 Feb), membawa hujan lebat dan angin kencang, lapor Xinhua.

Taufan Zelia melintasi pantai Australia Barat (WA) berhampiran pekan kecil De Grey di daerah Pilbara, di barat laut negara itu sebagai ribut kategori empat sejurus selepas tengah hari waktu tempatan pada Jumaat (14 Feb), beberapa jam lebih awal daripada yang diramalkan. Ia pada mulanya diramal akan melanda pantai pada waktu malam sebagai ribut kategori lima.

Kelajuan angin mencecah sehingga 220 kilometer sejam, manakala curahan hujan melebihi 500 milimeter direkodkan di De Grey sebelum ribut itu melemah dengan pantas.

Pihak berkuasa pada pagi Sabtu (15 Feb) menurunkan statusnya kepada taufan tropika tetapi memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan dan boleh menyebabkan banjir kilat.

Angus Hines dari Biro Meteorologi (BoM) berkata, jumlah hujan yang memecah rekod telah dilaporkan di beberapa bahagian pantai Pilbara.

"Akan terdapat kesan banjir yang ketara selama beberapa hari akan datang dan penutupan jalan secara meluas dijangka berterusan sedang kerja-kerja pembersihan dijalankan," katanya kepada Perbadanan Penyiaran Australia (ABC).

Angin kencang turut menumbangkan pokok-pokok di seluruh wilayah itu, namun sehingga pagi Sabtu (15 Feb), tiada laporan kerosakan besar atau kecederaan.

Beberapa bandar terputus hubungan selepas jalan raya ditenggelami banjir.

Menurut Encik Hines, penutupan jalan secara ketara dijangka berlaku apabila paras air meningkat.

Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Australia Barat menggesa penduduk Pilbara supaya berhati-hati terhadap bangunan yang rosak, air banjir serta tiang elektrik dan pokok yang tumbang.
 
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita