Skip to main content

Dunia

Amaran banjir dikeluarkan sedang ribut bergerak menuju ke Tokyo

Satu ribut tropika kuat bergerak menuju ke Tokyo pada Rabu (3 Jun), dengan peramal cuaca memberi amaran tentang risiko banjir selepas hujan lebat melanda sebahagian besar Jepun, mendorong arahan pemindahan melibatkan ratusan ribu penduduk.

Anggaran Waktu Membaca:
Amaran banjir dikeluarkan sedang ribut bergerak menuju ke Tokyo

Seorang wanita mendukung anaknya sambil berjalan dalam hujan lebat yang dibawa ribut tropika Jangmi di Tokyo pada 3 Jun 2026. (Gambar: AFP/Yuichi Yamazaki)

TOKYO: Satu ribut tropika kuat bergerak menuju ke Tokyo pada Rabu (3 Jun), dengan peramal cuaca memberi amaran tentang risiko banjir selepas hujan lebat melanda sebahagian besar Jepun, mendorong arahan pemindahan melibatkan ratusan ribu penduduk.

Ribut Jangmi - yang diturunkan kekuatannya daripada taufan - mencederakan 15 orang di selatan Jepun pada Selasa, menyebabkan bekalan elektrik terputus bagi ribuan rumah dan mengakibatkan ratusan penerbangan dibatalkan.

Pihak berkuasa memberi amaran tentang gangguan lanjut pada Rabu, termasuk kemungkinan kelengahan pengangkutan di Tokyo, manakala beberapa sekolah di ibu negara turut ditutup.

Dua syarikat penerbangan terbesar Jepun, All Nippon Airways dan Japan Airlines, membatalkan sejumlah 616 penerbangan - termasuk 92 penerbangan antarabangsa - yang dijadualkan pada Rabu.

Sekitar 370,000 penduduk di beberapa kawasan dari Pulau Shikoku di barat Jepun hingga ke Tokyo juga dinasihatkan supaya berpindah, menurut kenyataan pemerintah.

Sehingga pukul 6.00 pagi Rabu (2100 GMT Selasa), tiada laporan baharu mengenai kecederaan, namun enam bangunan dilaporkan mengalami kerosakan.

Hujan lebat menyebabkan sungai-sungai di barat dan timur Jepun, termasuk di kawasan Tokyo, melimpah, dengan Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran banjir bagi beberapa wilayah termasuk Prefektur Aichi, yang padat dengan penduduk di tengah Jepun, dan Tokyo.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita