Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Amanah Selangor bakal bertanding di 9 kerusi DUN pada PRN

Anggaran Waktu Membaca:
Amanah Selangor bakal bertanding di 9 kerusi DUN pada PRN

Pengerusi parti Amanah Selangor Izham Hashim. (Gambar: Bernama)

SHAH ALAM: Parti Amanah Selangor mengesahkan ia akan bertanding di sembilan daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor bulan depan.

Pengerusinya Izham Hashim berkata parti itu akan mempertahankan DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer yang dimenangi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Satu lagi kerusi adalah di Hulu Bernam, kami tukar dengan Barisan Nasional (BN) manakala kerusi Jeram mereka (BN) ambil,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama.

Mengulas mengenai calon Amanah Selangor, Izham berkata senarai calon parti itu akan dimuktamadkan pada Khamis (13 Julai) oleh kepimpinan peringkat tertinggi Amanah.

“Jawatankuasa calon dah selesai pilih (calon), esok dibawa ke peringkat tertinggi untuk mengesahkan nama-nama yang dicalonkan. Kami akan umum setelah selesai kelak.

“Calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria yang ditetapkan seperti kelulusan akademik, pengalaman dalam politik, boleh bekerja dan berjawatan di dalam parti,” katanya sambil menambah, Amanah akan menampilkan kombinasi calon muka baharu dan lama, anak muda serta wanita.

Mengenai persediaan parti itu menghadapi persaingan daripada Perikatan Nasional (PN) di Selangor, beliau berkata pihaknya percaya mampu mempertahankan sekurang-kurangnya lapan kerusi pada PRN kali ini.

“Kami dah perintah Selangor tiga penggal, kita boleh lihat stabil, makmur dan sejahteranya Selangor ini. Tiada sebab pengundi mahu membuat pertukaran.

“Pencapaian (Selangor) bagus, kami ada rekod yang sangat baik, program untuk rakyat daripada berbelas-belas (sebelum ini) sekarang ada 46 program untuk rakyat. Selain itu, kami tidak terlibat dengan skandal atau kes korupsi, curi duit rakyat,” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari sebelum ini memaklumkan pembahagian kerusi di antara PH dan BN selesai dengan lebih 20 peratus daripada 56 kerusi DUN akan diwakili BN manakala selebihnya akan ditandingi calon PH yang terdiri daripada parti PKR, DAP dan Amanah.

Pada PRU14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH mempunyai 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan diadakan serentak dengan 12 Ogos sebagai hari pengundian manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan