Amanah bertekad perkukuh kesepakatan politik PH, kata Mat Sabu
Parti Amanah Negara (Amanah) Malaysia bertekad untuk memainkan peranan mengukuhkan lagi kesepakatan politik dalam Pakatan Harapan (PH), kata Presidennya Mohamad Sabu.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu. (Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Parti Amanah Negara (Amanah) Malaysia bertekad untuk memainkan peranan mengukuhkan lagi kesepakatan politik dalam Pakatan Harapan (PH), kata Presidennya Mohamad Sabu.
Beliau berkata parti itu juga akan mengekalkan persefahaman politik dalam PH selepas pakatan tersebut mendapat mandat daripada rakyat semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 tahun lalu.
"Awal dahulu, Amanah mempelopori muafakat politik sehingga mewujudkan pakatan politik Pakatan Harapan dan akhirnya membentuk kerajaan.
"Kita menyedari kelompok yang tewas dalam pilihan raya lepas (PRU14) sentiasa berusaha untuk merobek kesatuan Pakatan Harapan dan kita tidak akan benarkan ia berlaku," ujarnya semasa acara Pidato Presiden di Konvensyen Amanah Nasional 2019 pada Jumaat (6 Dis).
Mengulas lanjut, Encik Mohamad berkata Amanah turut menyatakan tekad bersama kerajaan PH untuk berusaha melaksanakan janji yang terkandung dalam manifesto pakatan itu pada PRU14.
"Menyedari kehendak rakyat yang mengharapkan perubahan berlaku dalam negara setelah lebih 60 tahun diperintah oleh Barisan Nasional (BN), Amanah menyatakan tekad untuk bersama-sama dengan kerajaan PH berusaha semaksimum mungkin melaksanakan janji dalam pilihan raya.
"Ia suatu kemestian untuk dilaksanakan walaupun kita berhadapan pelbagai kekangan untuk membaik pulih kerosakan yang dilakukan oleh pentadbiran terdahulu," katanya.
Dalam pada itu, Encik Mohamad berkata parti tersebut juga akan berusaha untuk mempengaruhi kerajaan bagi meminda perlembagaan bagi menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja.
Beliau mengulas perkara itu perlu bagi mengelakkan berlakunya kekuasaan berlebihan pada satu-satu pihak selain memberi peluang kepada bakat baru untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
"Tahniah kepada kerajaan negeri Melaka yang telah memulakan pindaan undang-undang tubuh negeri yang menghadkan Ketua Menteri hanya dua penggal sahaja," tambahnya.
Konvensyen kali ini bakal menyaksikan buat julung kalinya ahli parti melaksanakan tugas memilih pimpinan baru yang akan menentukan hala tuju parti itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.