Skip to main content

Dunia

Amalan kuota khas, surat sokongan haji bagi menteri & anggota parlimen M'sia dihentikan

 Amalan pemberian kuota kepada menteri dan anggota Parlimen serta surat sokongan untuk mengerjakan haji sudah pun dihentikan mulai musim haji tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Amalan kuota khas, surat sokongan haji bagi menteri & anggota parlimen M'sia dihentikan

(Gambar: Azlan Asri/BERITAMediacorp)

Diterbitkan : 15 Dec 2018 09:33PM Dikemas Kini : 15 Dec 2018 09:36PM

KUANTAN: Amalan pemberian kuota kepada menteri dan anggota Parlimen serta surat sokongan untuk mengerjakan haji sudah pun dihentikan mulai musim haji tahun ini.

Demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Fuziah Salleh.

Perkara itu, katanya dicapai menerusi persetujuan Kabinet supaya kuota 30,200 orang yang diperuntukkan kerajaan Arab Saudi untuk mengerjakan haji dinikmati mereka yang benar-benar layak.

"Apabila kuota itu diberikan pula kepada pihak tertentu, jadi kuota untuk rakyat sudah menjadi semakin sedikit sehingga menyebabkan tempoh menunggu menjadi terlalu panjang sehinggakan ada yang sudah uzur baru dapat mengerjakan haji.

"Jika kuota yang diberikan kepada pihak tertentu walaupun jumlahnya hanya 50, kadang-kadang berlaku ada yang menjual kepada mereka yang mahukan kuota haji. Akhirnya mereka mengambil hak orang yang layak," katanya kepada para wartawan selepas menghadiri Dialog Komuniti Bersama Anggota Parlimen Kuantan, pada Jumaat (14 Dis).

Beliau menambah pemberian surat sokongan untuk memudahkan permohonan mengerjakan haji juga dihentikan selari dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan yang tidak mahu amalan itu menjadi kebiasaan.

"Jika ada rayuan (dalam permohonan untuk menunaikan haji), kami hanya akan memanjangkannya untuk pertimbangan pihak terlibat namun ia masih dilakukan mengikut prosedur. Hanya mereka yang layak diberi pertimbangan dan tiada lagi layanan khas," katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita