Altantuya datang ke M'sia untuk berjumpa 'Razak', dedah bapanya
Dr Shaariibuu Setev, bapa warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa anak perempuannya itu memberitahunya bahawa beliau mahu berjumpa seorang lelaki dikenali sebagai ‘Razak’ di Malaysia pada 2006.
Dr Shaariibuu Setev, bapa warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya. (Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Dr Shaariibuu Setev, bapa warga Mongolia yang mati dibunuh, Altantuya Shaariibuu, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa anak perempuannya itu memberitahunya bahawa beliau mahu berjumpa seorang lelaki dikenali sebagai ‘Razak’ di Malaysia pada 2006.
Dr Shaariibuu, 69 tahun, profesor sambilan di Universiti Nasional Mongolia, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu siapakah 'Razak' yang dimaksudkan oleh anaknya itu, sama ada Najib Razak (mantan Perdana Menteri Najib Razak) atau Razak Baginda (penganalisis politik Abdul Razak Baginda).
“Apa yang dia (Altantuya) beritahu saya ialah 'Razak'. Saya tidak tahu 'Razak' yang mana…Najib Razak atau Razak Baginda,” katanya ketika disoal peguam yang mewakilinya, Encik Ramkarpal Singh, pada pendengaran kes saman RM100 juta (S$32 juta) yang difailkan oleh beliau dan keluarganya terhadap dua bekas anggota polis, Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Encik Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.
Dr Shaariibuu memberitahu mahkamah beliau juga bertanyakan anaknya tentang identiti Razak yang dinyatakannya itu, dan Altantuya menjawab beliau mahu mendapatkan bantuan daripada lelaki berkenaan untuk rawatan perubatan anaknya.
Saksi itu berkata identiti 'Razak' timbul dalam perbualan dengan Altantuya di rumahnya, sehari sebelum mendiang berlepas ke Malaysia.
LIHAT GAMBAR 'RAZAK' SEBENAR
Encik Ramkarpal: Adakah kamu tahu bagaimana rupa Razak ini semasa anak kamu beritahu kamu mengenainya?
Dr Shaariibuu: Saya tidak tahu.
Encik Ramkarpal: Adakah kamu bertanya kepada anak kamu atau adakah kamu cuba mencari siapakah dia 'Razak' ini?
Dr Shaariibuu: Kami ada berbual dan semasa sedang berbual, dia pergi ke tandas dan telefon bimbitnya berdering. Begnya ada di depan saya. Saya buka beg itu dan ternampak satu foto.
Ditanya Encik Ramkarpal apakah yang ada dalam foto yang dilihat plaintif itu, Dr Shaariibuu berkata, “Saya tanyakan kepadanya secara khusus siapakah orang ini sebab anak perempuan saya pun ada dalam gambar itu. Dia menjawab ‘inilah orang yang saya mahu jumpa di Malaysia’”.
ANTARA BUKTI ALTANTUYA BERHUBUNGAN DENGAN 'RAZAK'
Dr Shaariibuu berkata beliau kemudian terjumpa tiket penerbangan yang dibeli 'Razak' untuk Altantuya bertarikh 23 Mac 2005 dan resit daripada Habib bertarikh 4 Mac 2005 bagi pembelian barangan kemas bernilai RM11,300 (S$3,709) yang dijual kepada Encik Abd Razak Abdullah (Razak Baginda).
“Saya juga terjumpa sepucuk surat daripada Encik Abdul Razak Baginda bertarikh 2 Mac 2006 kepada si mati sebagai pembayaran. Surat itu tidak ditandangani oleh Abdul Razak tetapi ia ditandatangani oleh si mati sebagai akuan penerimaan wang yang dinyatakan,” katanya.
Awal dari itu, Dr Shaariibuu memberitahu mahkamah beliau tahu bahawa anaknya berkunjung ke Malaysia pada 2005 dan 2006 tetapi tidak ingat pada bulan berapa.
“Saya tahu tentang perkara ini sebab anak saya beritahu saya dia akan ke Malaysia pada sekitar waktu itu. Pada masa itu, saya tidak tanya sebab apa dia hendak ke Malaysia dan dia pun tidak beritahu saya. Saya tidak tahu sama ada itu kunjungan pertamanya ke Malaysia. Saya tahu dia pergi lagi ke Malaysia selepas kembali dari Malaysia pada Ogos 2006.”
Dr Shaariibuu berkata selepas Ogos 2006, beliau mendapat tahu Altantuya akan pergi lagi ke Malaysia apabila mendiang menelefonnya untuk memberitahu perkara itu.
JALIN HUBUNGAN DENGAN "ORANG BESAR" M'SIA
“Saya minta dia datang berjumpa saya sebelum berlepas. Dia datang jumpa saya sekitar 7 atau 8 Okt 2006. Saya tanya kenapa dia kerap pergi ke Malaysia. Saya tanya kepadanya adakah dia ada seseorang yang menjadi sebab dia selalu ke Malaysia dan dia menjawab 'ya'.
“Dia katakan kepada saya dia menjalin hubungan dengan ‘orang besar’ di Malaysia dan namanya ialah Baginda. Katanya kunjungan ini penting baginya sebab dia mahu menguruskan rawatan bagi anak lelakinya,” katanya.
Pada 4 Jun 2007, ibu bapa Altantuya, Dr Shaariibuu dan isterinya, Altantsetseg Sanjaa serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman RM100 juta (S$32 juta) terhadap dua bekas anggota polis Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, Encik Abdul Razak serta kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, nama Altanshagai Munkhtulga kemudian dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila beliau meninggal dunia dua tahun lalu.
Dalam pernyataan tuntutan, keluarga itu mendakwa kematian Altantuya mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk.
Perbicaraan di hadapan Hakim Vazeer Alam Mydin Meera bersambung pada Isnin (28 Jan).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.