Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Aliff Syukri mengaku tidak bersalah muat naik kandungan video sumbang

Anggaran Waktu Membaca:
Aliff Syukri mengaku tidak bersalah muat naik kandungan video sumbang

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 13 Oct 2022 02:43PM Dikemas Kini : 13 Oct 2022 03:06PM
SEPANG: Usahawan kosmetik Aliff Syukri Kamarzaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Khamis (13 Sep) atas empat pertuduhan memuat naik kandungan video sumbang melalui akaun Instagram miliknya pada April lalu.

Aliff Syukri, 35 tahun, didakwa membuat penghantaran komunikasi itu menggunakan aplikasi akaun Instagramnya dengan niat menyakiti hati orang lain pada 13, 15, 17 dan 21 April.

Jika disabit kesalahan, Aliff Syukri boleh didenda sehingga RM50,000 (S$15,289) atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) Fazril Sani Mohamed Fadzil, manakala Aliff Syukri diwakili peguam Hasshahari Johari Alwi dan Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Encik Fazril Sani memohon mahkamah mengenakan jaminan RM10,000 (S$3058) bagi setiap pertuduhan, manakala Encik Hasshahari memohon agar mahkamah mempertimbangkan jumlah itu kerana tertuduh bekerja sendiri untuk menyara isteri serta lima orang anak yang masih bersekolah.

Encik Hasshahari berkata tertuduh juga bertanggungjawab ke atas ramai pekerja yang berkhidmat di bawah syarikatnya.

“Saya percaya mahkamah berpegang kepada tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya,” katanya.

Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil membenarkan Aliff Syukri diikat jamin RM20,000 (S$6116) dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 November ini sebagai tarikh perbicaraan semula.

Aliff Syukri membayar jaminan tersebut.
Sumber : Bernama/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan