Alexandra Central Mall akan ganti semua pintu kaca ekoran insiden wanita dihempap
Tiga hari setelah sebuah pintu kaca jatuh dan menimpa seorang wanita hingga menyebabkannya dirawat di hospital, pihak pengurusan Alexandra Central Mall menyatakan bahawa pihaknya akan menggantikan semua pintu kaca di bangunannya.
(Gambar: Neo Rong Wei/TODAY)
SINGAPURA: Tiga hari setelah sebuah pintu kaca jatuh dan menimpa seorang wanita hingga menyebabkannya dirawat di hospital, pihak pengurusan Alexandra Central Mall menyatakan bahawa pihaknya akan menggantikan semua pintu kaca di bangunannya. Ia juga akan menjalankan siasatan ke atas pembocoran rakaman video kamera pemantau yang menjadi tular pada Selasa (26 Feb).
Jurucakap pusat beli-belah itu, Encik Philip Pang memberitahu Mediacorp pihak pengurusan akan mengambil "tindakan tegas" terhadap pihak yang membocorkan rakaman itu di media sosial.
Beliau mengakui bahawa pintu kaca yang tertanggal itu tidak dipasang dengan betul. Insiden tersebut berlaku pada Ahad di lobi lif di tempat letak kenderaan di tingkat empat.
Pada sekitar 6.30 petang, seorang wanita memasuki lobi lif itu dengan menolak sebuah pintu kaca. Pintu di sebelahnya terjatuh kurang 10 saat kemudian dan menimpanya apabila beliau sedang berdiri menunggu lif. Wanita itu rebah ke lantai akibat ditimpa pintu tersebut.
Hospital Universiti Nasional memberitahu Mediacorp bahawa wanita itu masih dirawat di hospital tetapi tidak mendedahkan sebarang butiran lain mengenai keadaannya.
Dalam satu surat edaran yang ditandatangani oleh Encik Pang dan diberikan kepada para penyewa kedai pada Rabu, beliau berkata bahawa respons daripada pihak "penyedia khidmat keselamatan adalah cepat". Setelah ketua kakitangan keselamatan melihat kejadian itu menerusi kamera pemantau, para pegawai dihantar untuk membantu mangsa dan perkhidmatan perubatan juga diberikan.
Pintu kaca itu dialihkan dan pemeriksaan dijalankan di tempat kejadian.
Menurut surat edaran itu, semua pintu kaca akan ditanggalkan dan diganti.
Pusat beli-belah itu sedang bekerjasama dengan Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) untuk memastikan bahawa pintu-pintu yang diganti disahkan selamat.
Encik Pang memberitahu Mediacorp bahawa "tindakan tegas" akan diambil terhadap pihak-pihak yang membocorkan rakaman insiden itu di wadah online dan besar kemungkinan pihak pengurusan akan dapat mengenal pasti sumbernya.
Menurut Encik Pang dalam surat itu, pihaknya sudah menghubungi anggota keluarga wanita itu dan tahu akan keadaannya.
"Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantunya dan keluarganya."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.