Aktiviti tabligh di masjid, surau Selangor ditangguh ekoran COVID-19
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua program dan aktiviti tabligh di masjid serta surau di seluruh negeri itu, ditangguhkan buat sementara waktu menyusuli penularan COVID-19 ketika ini.
Petikan gambar dari video.
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengarahkan semua program dan aktiviti tabligh di masjid serta surau di seluruh negeri itu, ditangguhkan buat sementara waktu menyusuli penularan COVID-19 ketika ini.
Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad berkata, arahan itu dikeluarkan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas berlakunya jangkitan daripada satu majlis keagamaan melibatkan tabligh di Sri Petaling baru-baru ini.
“Langkah ini perlu dilakukan kerana biasanya tabligh yang hadir ke mana-mana aktiviti keagamaan adalah orang yang sama.
“JAIS telah mengedarkan surat arahan penangguhan aktiviti tabligh kepada semua pengurus masjid dan pengerusi surau di Selangor sejak semalam sebagai usaha mengelakkan penularan berkenaan yang sekarang ini dilihat agak cepat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini (13 Mac).
Pada masa yang sama beliau berkata, beberapa program anjuran JAIS melibatkan jumlah orang awam yang ramai dalam masa terdekat ini juga ditangguhkan buat sementara waktu, antaranya di Masjid Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan majlis hafazan sekolah di Sabak Bernam.
Bagi program lain anjuran JAIS, Mohd Shahzihan berkata pihaknya akan meneliti terlebih dahulu berdasarkan nasihat yang dikeluarkan KKM, sebelum menangguhkannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.