Aktiviti memancing bertukar tragedi, dua beranak lemas
Aktiviti memancing dua beranak bertukar tragedi apabila kedua-duanya meninggal dunia akibat lemas di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Bangi di Kajang, hari ini (26 Ogos).

Para anggota bomba di tempat kejadian. (Gambar: Facebook/Roda Pena)
KAJANG: Aktiviti memancing dua beranak bertukar tragedi apabila kedua-duanya meninggal dunia akibat lemas di Sungai Langat berhampiran Taman Bangi Perdana, Bangi di Kajang, hari ini (26 Ogos).
Mayat dua beranak itu dijumpai oleh anggota pasukan bomba Selangor di dasar sungai sedalam tiga meter, sekitar tujuh meter dari tebing sungai selepas mereka dilaporkan terjatuh ke dalam sungai berkenaan pagi tadi (26 Ogos).
Mayat Encik Roslan Ismail, 49 tahun, dijumpai pada jam 1.52 petang, manakala mayat anaknya, Ahmad Azri,18 tahun dijumpai pada 2.20 petang, sekitar empat meter daripada mayat Encik Roslan.
Seorang saksi, Encik Rashidi Yahya, 30 tahun, berkata bahawa kejadian itu berlaku pada sekitar jam 9.40 pagi ketika beliau tiba di sungai untuk memancing.
“Saya sampai saja, terus ternampak kepala mangsa dan tangan mereka terkapai-kapai, sejurus itu mereka terus tenggelam. Ketika kejadian, saya berada sekitar 30 meter dari mangsa,” katanya ketika ditemui para wartawan di tempat kejadian hari ini (26 Ogos).
Sementara itu, isteri mangsa, Ajura Abdul Jalil, 48 tahun, berkata suaminya yang berkerja sebagai kontraktor binaan kerap memancing di sungai itu yang terletak berhampiran rumah mereka.
“Memang setiap hujung minggu, arwah (Roslan) akan berseorangan ke sini, tapi hari ini anak kedua kami turut mahu ikutnya memancing,” katanya dengan nada sebak.
Punca kejadian masih tidak dapat dipastikan dan kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.