Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Aktiviti keagamaan di masjid, surau dibenarkan di Sabah mulai Jumaat

Semua masjid dan surau di Sabah dibuka untuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula hari ini (19 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Aktiviti keagamaan di masjid, surau dibenarkan di Sabah mulai Jumaat

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 19 Feb 2021 07:55AM Dikemas Kini : 19 Feb 2021 08:02AM

KOTA KINABALU: Semua masjid dan surau di Sabah dibuka untuk solat berjemaah lima waktu dan solat Jumaat bermula hari ini (19 Feb).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata kebenaran itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.

Bagaimanapun beliau berkata kelulusan itu tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan solat utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal, sementara aktiviti lain di masjid dan surau seperti kuliah Maghrib serta solat sunat duha juga dibenarkan dan tidak melebihi satu jam pada setiap sesi.

"Kelas agama juga dibenarkan tetapi tidak melebihi tempoh lima jam dan bilangan peserta tidak lebih daripada 20 orang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis (18 Feb).

Encik Masidi yang juga jurucakap COVID-19 negeri berkata majlis akad nikah juga dibenarkan di dalam dewan atau bilik khas masjid dengan kehadiran tidak lebih 20 orang pada satu-satu masa dengan menjaga disiplin dan mematuhi SOP.

Jamuan dengan makanan dan minuman yang dibungkus turut dibenarkan manakala had umur kanak-kanak yang dibenarkan hadir ke masjid dan surau adalah 10 tahun ke atas, katanya.

Encik Masidi berkata aktiviti dan program keagamaan di rumah ibadat bukan Islam turut dibenarkan tertakluk kepada satu pertiga kapasiti dewan sembahyang utama dengan pematuhan SOP ditetapkan antaranya merekodkan kehadiran penganut menggunakan aplikasi MySejahtera, Sabahtraces atau mencatat kehadiran dalam buku log yang disediakan.

Selain itu penyediaan kaunter di pintu masuk dewan untuk pemeriksaan suhu badan dan memastikan pergerakan masuk ke dalam dewan mengikut giliran, memakai pelitup muka sepanjang masa dan kerap membersihkan tangan dengan cecair pembasmi kuman, katanya.

Beliau berkata penganut tidak dibenarkan berkumpul di kawasan lapang rumah ibadat termasuk bersalaman, berpelukan dan mengadakan aktiviti berjadual di dalam dan di luar rumah ibadat seperti kelas keagamaan dan kebudayaan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan