Aktivis remaja Greta Thunberg dinobat Orang Terbaik 2019
Greta Thunberg, remaja warga Sweden berusia 16 tahun yang menjadi inspirasi kepada berjuta-juta orang muda di merata dunia supaya mengambil tindakan terhadap perubahan iklim, dinamakan sebagai Tokoh 2019 oleh majalah Time.
Aktivis Greta Thunberg dari Sweden. (Gambar: Rafael Marchante/Reuters)
NEW YORK: Greta Thunberg, remaja warga Sweden berusia 16 tahun yang menjadi inspirasi kepada berjuta-juta orang muda di merata dunia supaya mengambil tindakan terhadap perubahan iklim, dinamakan sebagai Tokoh 2019 oleh majalah Time.
Pada usia 15 tahun, Thunberg melancarkan satu kempen akar umbi dengan ponteng sekolah setiap hari Jumaat semata-mata untuk mengadakan bantahan di luar bangunan parlimen Sweden.
Ia bagi menggesa pemerintah negara itu supaya memenuhi matlamatnya untuk mengurangkan pengeluaran gas karbon.
Tindakan Thunberg dengan pantas mendapat perhatian orang ramai dan pada September lalu, berjuta-juta orang mengadakan perarakan di jalan raya di bandar-bandar utama di merata dunia untuk menyokong gerakannya.
Majalah tersebut mewawancara beliau di atas sebuah bot layar yang membawanya dari Amerika Syarikat ke Eropah selepas melakukan lawatan selama 11 minggu ke beberapa bandar di Amerika Syarikat dan Kanada.
"Dalam tempoh 16 bulan sejak beliau mengadakan tunjuk-tunjuk perasaan itu, beliau sudahpun berucap kepada ketua-ketua negara di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengadakan pertemuan dengan Pope, bertikai dengan Presiden Amerika Syarikat dan merangsang seramai 4 juta orang untuk menyertai bantahan berhubung perubahan iklim sejagat," menurut majalah itu.
Thunberg kini berada di Madrid bagi menghadiri sidang puncak iklim PBB, di mana para pemimpin dunia mengadakan rundingan mengenai bagaimana untuk melaksanakan perjanjian Paris 2015 yang dilakarkan dengan tujuan untuk mengelakkan daripada kesan-kesan buruk akibat perubahan iklim sejagat.
Calon-calon lain termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Speaker Dewan Nancy Pelosi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.