Aktivis Greta Thunberg tuduh Israel lakukan penculikan selepas bot bantuan Gaza dipintas
Aktivis dari Sweden Greta Thunberg pada Selasa (10 Jun) menuduh Israel "menculik mereka di perairan antarabangsa dan membawa mereka ke Israel tanpa persetujuan mereka" selepas pasukan keselamatan Israel memintas bot yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

Aktivis Sweden, Greta Thunberg, berjalan di sebuah terminal, dikelilingi wartawan dan polis Perancis di Lapangan Terbang Paris-Charles de Gaulle, di Roissy-en-France berhampiran Paris, Perancis pada 10 Jun 2025. (Gambar: REUTERS/Gonzalo Fuentes)
"Ini adalah satu lagi pelanggaran hak yang disengajakan yang ditambah ke dalam senarai pelanggaran lain yang tidak terkira yang dilakukan oleh Israel," kata Cik Thunberg, 22 tahun kepada para wartawan sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris selepas diusir dari Israel.
Beliau menekankan bahawa pengalamannya itu "tidak boleh dibandingkan dengan apa yang sedang dilalui oleh penduduk Palestin".
Daripada lima individu yang menaiki bot Madleen yang membawa bekalan makanan dan bekalan kemanusiaan lain untuk Gaza, lima aktivis Perancis ditahan kerana mereka enggan meninggalkan Israel secara sukarela.
Namun Cik Thunberg, yang menempa nama sebagai seorang aktivis muda yang menentang perubahan iklim dan cuba mengelak daripada menaiki sebarang penerbangan disebabkan oleh kesannya terhadap persekitaran, dihantar pulang oleh Israel dengan menaiki pesawat komersial El Al ke Paris.
"Ini bukan kisah yang sebenar. Kisah yang sebenar adalah berlaku pembunuhan beramai-ramai atau genosid di Gaza dan kebuluran secara sistematik," kata Cik Thunberg.
Beberapa kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty International, menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap penduduk Palestin di Gaza, namun Israel sekeras-kerasnya menolak istilah itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.