Skip to main content

Dunia

Aktivis flotila dakwa Greta Thunberg dianiaya semasa dalam tahanan Israel

Lebih 130 aktivis pro-Palestin yang ditahan Israel kerana menyertai misi flotila bantuan ke Gaza tiba di Turki pada Sabtu (4 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Aktivis flotila dakwa Greta Thunberg dianiaya semasa dalam tahanan Israel

Aktivis Sweden, Greta Thunberg, dan aktivis Brazil, Thiago Avila, duduk di atas kapal yang dalam perjalanan ke Israel selepas beberapa kapal dalam flotila Global Sumud yang menuju ke Gaza dipintas Israel, dalam gambar edaran yang dikeluarkan pada 2 Oktober 2025. (Gambar: REUTERS/Israel Foreign Ministry/Handout)

ANKARA: Lebih 130 aktivis pro-Palestin yang ditahan Israel kerana menyertai misi flotila bantuan ke Gaza tiba di Turki pada Sabtu (4 Okt).

Dua daripadanya mendakwa aktivis iklim dari Sweden, Greta Thunberg, dianiaya semasa ditahan Israel.

Israel, yang memintas flotila itu pada awal minggu ini, bagaimanapun menafikan tuduhan itu, sambil menyatakan ia adalah satu "pembohongan semata-mata".

Kementerian Luar Turki menyatakan mereka yang diusir termasuk 36 warga Turki serta rakyat Amerika Syarikat, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Algeria, Maghribi, Itali, Kuwait, Libya, Malaysia, Mauritania, Switzerland, Tunisia dan Jordan.

Seramai 137 aktivis tiba di Lapangan Terbang Istanbul pada Sabtu, membentuk sebahagian daripada kumpulan yang terdiri daripada lebih 450 aktivis yang ditahan selepas Israel merampas kira-kira 40 bot yang cuba menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza.

“DIBERI LAYANAN DENGAN BURUK,” KATA AKTIVIS

Aktivis Malaysia, Hazwani Helmi, 28 tahun, memberitahu Reuters bahawa para tahanan “dilayan seperti binatang” dan berkata Cik Thunberg ditolak serta dipaksa memakai bendera Israel semasa dalam tahanan.

“Ia satu keadaan yang amat dahsyat,” kata Cik Hazwani, sambil menambah bahawa bekalan makanan dan air amat terhad, manakala barangan peribadi serta ubat-ubatan mereka dirampas.

Aktivis dari Amerika Syarikat, Windfield Beaver, 43 tahun berkata Cik Thunberg “dijadikan alat propaganda”, sambil mendakwa beliau ditolak masuk ke sebuah bilik apabila Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir tiba.

Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan di platform X menyatakan semua tahanan berada dalam keadaan “selamat dan sihat,” dan pihak berkuasa sedang berusaha menyelesaikan proses pengusiran dengan “secepat mungkin.” Ia turut menuduh beberap aktivis flotila cuba menghalang proses tersebut, tanpa mengemukakan bukti.

MENTERI LUAR ITALI TUNTUT AGAR HAK TAHANAN DIHORMATI

Menteri Luar Itali, Antonio Tajani, berkata 26 warga Itali menaiki pesawat Turkish Airlines itu, manakala 15 lagi masih dalam tahanan Israel dan sedang menunggu proses pengusiran.

“Saya sekali lagi mengarahkan Kedutaan Itali di Tel Aviv supaya memastikan baki aktivis warga Itali diberi layanan dengan penuh hormat dan hak mereka dipelihara,” kata Encik Tajani di platform X.

Empat anggota parlimen Itali yang turut menyertai flotila tersebut tiba di Rom pada Jumaat. Salah seorang daripada mereka, Arturo Scotto, berkata kepada media: “Mereka yang bertindak secara sah ialah mereka yang berada di atas kapal; yang bertindak menyalahi undang-undang adalah mereka yang menghalang para aktivis daripada sampai ke Gaza.”

Seorang lagi anggota parlimen, Benedetta Scuderi, berkata para peserta “dihalang dengan kasar” dan “ditahan secara kejam.”

ISRAEL NAFI DAKWAAN PENDERAAN

Kumpulan hak asasi Israel, Adalah, yang mewakili beberapa tahanan, berkata sebilangan aktivis dinafikan akses kepada peguam, bekalan air dan tandas, serta dipaksa untuk melutut selama berjam-jam sementara tangan mereka diikat.

Namun, Kementerian Luar Israel menolak dakwaan itu.

“Semua dakwaan yang dibuat oleh Adalah adalah pembohongan semata-mata,” kata jurucakapnya. “Semua tahanan diberi akses kepada air, makanan dan tandas; mereka tidak dinafikan hak untuk mendapatkan peguam, dan semua hak mereka diberikan dengan sepenuhnya.”

Misi flotila berkenaan, yang menjadi cabaran terbaharu kepada sekatan laut Israel ke atas Gaza, memulakan pelayaran pada hujung Ogos.

Pegawai Israel menggambarkan misi tersebut sebagai “taktik politik” dan memberi amaran kepada para aktivis supaya tidak melanggar apa yang mereka sifatkan sebagai sekatan yang sah di sisi undang-undang.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita