Aktivis alam sekitar ini berjalan kaki 235km sebar mesej perlindungan harimau Malaya yang semakin berkurangan
Pelakon Malaysia Sharifah Sofia Syed Hussein, 36 tahun, mengerang kesakitan kerana cedera di kakinya selepas berjalan 12 kilometer (km) tanpa henti.
Sharifah Sofia Syed Hussein, Rafizah Mat Zin dan sekumpulan penyokong mereka di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. (Gambar: CNA/Vincent Tan)
BENTONG, Pahang: Pelakon Malaysia Sharifah Sofia Syed Hussein, 36 tahun, mengerang kesakitan kerana cedera di kakinya selepas berjalan 12 kilometer (km) tanpa henti.
Bersama rakannya, Rafizah Mat Zin, 46 tahun, mereka perlu membetis lagi lima km untuk sampai ke Bentong, yang dikenali dengan hasil durian Musang King. Di bandar itu nanti, mereka perlu melaporkan diri di balai polis tempatan bagi merakam ketibaan mereka dengan selamat, sebelum menyambung perjalanan ke destinasi seterusnya.
Sharifah dan Cik Rafizah sudah menempuh jarak sejauh 120km sejak mereka memulakan perjalanan dari Taman Negara di Pahang pada 6 Mei, ke destinasi terakhir kumpulan itu di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar seminggu kemudian.
Tujuan perjalanan sejauh 235km itu adalah untuk menarik perhatian terhadap jumlah harimau Malaya yang kian berkurangan di Malaysia, dan menyeru perlindungan lebih baik bagi haiwan kebangsaan negara itu.
Digelar "A Walk For Tigers" atau "Berjalan demi Harimau", perjalanan itu juga bagi memfailkan permohonan perisytiharan mahkamah untuk perlindungan harimau Malaya.
Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dinamakan sebagai responden.
Permohonan mahkamah, yang difailkan badan bukan kerajaan sekitaran Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (HIDUP) awal bulan ini, bertujuan menghentikan penebangan hutan yang menyebabkan kehilangan habitat bagi hidupan liar, terutama sekali harimau.
Terdapat kurang 150 harimau Malaya liar dan beberapa inisiatif yang diterajui kerajaan dan persatuan masyarakat sudahpun dijalankan bagi melindungi haiwan tersebut.
Malaysia menyertai Sidang Puncak Global Harimau melibatkan 13 negara di St Petersburg, Rusia pada 2010, yang menetapkan sasaran untuk menggandakan jumlah harimau liar di dunia daripada sekitar 3,000 kepada lebih 7,000 menjelang 2022.
Faktor-faktor seperti pemburuan haram, hilang habitat semula jadi dan konflik manusia-harimau kekal menjadi ancaman terbesar kepada kehidupan harimau di Malaysia, menurut Tabung Alam Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia).
JUMLAH HARIMAU KIAN BERKURANGAN
Sharifah, yang aktif dalam dunia hiburan dan lakonan, berkata beliau berkecimpung dalam kerja-kerja alam sekitar dan pendidikan selepas bercerai dan beliau mengambil masa untuk muhasabah diri.
Beliau mengimbas kembali bagaimana beliau berpindah ke Pulau Perhentian di Terengganu dan menganjurkan kegiatan kanak-kanak di sebuah resort selama setahun.
"Di sana, saya bertemu ramai orang yang luar biasa dalam kerja-kerja alam sekitar, saintis dan pengkaji. Resort ini membawa pelajar dari merata dunia."
Salah satu sebab beliau memberi tumpuan kepada nasib harimau, kata Sharifah, adalah kedudukan penting haiwan itu kepada rakyat Malaysia.
Pasukan bola sepak negara dipanggil "Harimau Malaya" dan logo sedia ada Proton, juga mempunyai lambang harimau.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Parlimen dan Undang-Undang Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu parlimen pada November tahun lalu bahawa jumlah harimau Malaya, berdasarkan Tinjauan Harimau Kebangsaan yang pertama dari 2016 hingga 2020, adalah kurang 200 ekor.
Ini jauh berkurangan berbanding pada tahun-tahun 1950-an di mana lebih 3,000 harimau berkeliaran bebas di hutan belantara Semenanjung Malaysia, menurut buku pada 1954, 'The Tigers Of Terengganu by A Locke'.
TERUSKAN PERJUANGAN
Sharifah memilih untuk memulakan perjalanannya di laluan masuk Merapoh Taman Negara di sempadan Kelantan-Pahang kerana taman negara itu melambangkan bilangan harimau di Malaysia.
Beliau dan Cik Rafizah kemudian meneruskan perjalanan ke hutan simpanan Sungai Yu, yang menghubungkan Taman Negara dengan pergunungan Titiwangsa dan kawasan hutan.
Selepas tiba di kompleks mahkamah di Kuala Lumpur dengan selamat, dengan sekumpulan kecil penyokong pada pagi 14 Mei, Sharifah berkata beliau akan terus mendampingi dan menjalankan pendidikan sekitaran kepada orang ramai sementara menantikan tindakan selanjutnya permohonan mereka di mahkamah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.