Akta dan Kolej Universiti akan dimansuhkan, beri kebebasan, demokrasi lebih luas kepada mahasiswa : PM Anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 sambil menambah, usul pemansuhan AUKU akan dibawa ke Kabinet pada Rabu, 19 Ogos 2026. (Gambar: Bernama)
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 demi memperluas kebebasan mahasiswa.
- Usul pemansuhan AUKU akan dibawa ke Kabinet pada 19 Ogos, sebagai sebahagian agenda reformasi pendidikan negara.
- Pengumuman dibuat semasa Ucapan Dasar Presiden PKR di Kongres Nasional PKR 2026 di MITC, Melaka, dengan kehadiran pemimpin parti utama.
- Tindakan ini diiktiraf sebagai komitmen kerajaan terhadap reformasi dan penghargaan kepada mahasiswa yang lama memperjuangkan pemansuhan AUKU.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan demikian sambil menambah, usul pemansuhan AUKU akan dibawa ke Kabinet pada Rabu depan (19 Ogos).
Encik Anwar berkata walaupun beberapa pindaan AUKU sebelum ini sudah memberi ruang kepada mahasiswa untuk bergiat aktif, ruang kebebasan itu perlu diperluas selaras dengan agenda reformasi pendidikan negara.
“Anak-anak mahasiswa merasakan mereka harus lebih bebas. Kita dah bebaskan dengan beberapa pindaan AUKU sebelum ini, tetapi ada yang tidak berpuas hati. Mereka mengemukakan memorandum. Maka, pada hari ini saya nak umumkan, kita akan mansuhkan AUKU,” jelas Encik Anwar.
Encik Anwar berkata demikian ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) bersempena dengan Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh pada Sabtu (15 Ogos).
Turut hadir dalam acara itu ialah Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Bendahari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Ngeh Koo Ham dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor.
Encik Anwar mendedahkan, pemansuhan AUKU merupakan antara reformasi pendidikan yang akan diteruskan kerajaan selepas kestabilan politik, keselamatan dan ekonomi negara semakin terjamin di bawah pentadbirannya.
“Sekarang, saya akan teruskan dengan lebih tegas agenda reformasi dan beberapa perkara yang tertangguh, termasuk reformasi pendidikan yang kita lakukan, kemasukan anak-anak pada peringkat awal, TVET dan STEM dengan cara lebih teratur,” tambah beliau.
Sementara itu, Encik Anwar berkata kerajaan tidak mahu pendidikan prasekolah hanya dinikmati golongan elit di bandar, manakala kanak-kanak di kawasan pedalaman dan desa mendapat akses pendidikan pada tahap lebih rendah.
“Kita tidak mahu prasekolah itu hanya bagi kalangan elit di bandar dan kelas dua bagi anak-anak di pedalaman dan desa, maka sudah menjadi tanggungjawab Kementerian Pendidikan,” kata Encik Anwar.
Beliau berkata keputusan tersebut turut menjadi pengiktirafan terhadap kelompok mahasiswa yang selama ini berani menyuarakan tuntutan untuk memansuhkan akta itu.
“Pada saat ini, saya tidak fikir siapa yang menang atau siapa yang mendapat kredit. Saya cuma terkenang wajah-wajah yang pernah berdiri bersama-sama.
“Mereka yang pernah takut, tetapi tetap datang. Mereka yang pernah dihukum, tetapi tetap bersuara. Terima kasih Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu (15 Ogos).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.