Skip to main content

Dunia

Akta Antilompat Parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Akta Antilompat Parti tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara M'sia

Gambar: Bernama

Diterbitkan : 09 Aug 2022 04:38PM Dikemas Kini : 09 Aug 2022 04:39PM
KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022, atau Akta Antilompat Parti tidak akan terpakai kepada Ahli Dewan Negara.

Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai dalam Jawatankuasa Pilihan Khas selepas mengambil kira beberapa pandangan pihak berkepentingan, seperti dinukil daripada Astro AWANI.

Sewaktu membentangkan Rang Undang-Undang tersebut untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara, Perdana Menteri berkata, Ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori, iaitu lantikan negeri, dan lantikan Yang di-Pertuan Agong.
“Larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting isu perundangan ini di peringkat negeri, selain memerlukan perundingan dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Ahli Dewan Negara dan semua pihak yang berkepentingan sewajarnya diperjelaskan menerusi sesi libat urus terlebih dahulu sebelum pindaan berkaitan pindah parti yang melibatkan Ahli Dewan Negara, jadi kita akan bincang dengan ahli Dewan Negara,” katanya lagi.

Selain itu Encik Ismail Sabri berkata, sokongan Ahli Dewan Rakyat mana-mana parti atau gabungan parti, boleh memberi implikasi kepada perubahan kerajaan dan kestabilan politik, lapor Astro AWANI.

Justeru, Encik Ismail Sabri berkata, adalah wajar sekiranya undang-undang tersebut hanya terpakai ke atas Ahli Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, beliau berharap pindaan tersebut mendapat sokongan dua pertiga Ahli Dewan Negara atau sekurang-kurangnya 40 ahli, lapor Astro AWANI.

"Besarlah harapan saya agar Rang Undang-Undang ini dapat disokong dan diluluskan sebulat suara oleh Ahli-Ahli Dewan Negara dengan berteraskan semangat Keluarga Malaysia.

“Rang Undang-Undang ini merupakan satu sejarah besar negara kerana ia dihasilkan melalui perundingan dan perbincangan di antara kedua-dua belah pihak iaitu Kerajaan dan Pembangkang,” katanya lagi.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita