Skip to main content

Dunia

Aksi wanita halang kereta bergerak di Port Dickson tular

Anggaran Waktu Membaca:
Aksi wanita halang kereta bergerak di Port Dickson tular

(Gambar: Tangkapan skrin video bckupacc99/Twitter)

PORT DICKSON: Tindakan seorang wanita yang menahan sebuah kereta di satu persimpangan lampu isyarat pada Ahad (23 Apr) bukan sahaja membahayakan dirinya tetapi turut menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Laman Majoriti difahamkan kejadian itu berlaku di Port Dickson, Negeri Sembilan dan dirakam oleh pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian pada Ahad.

"Pihak polis Port Dickson terkesan satu video memaparkan seorang wanita menghalang sebuah kereta jenis Proton Wira yang sedang bergerak semasa di sebuah lampu isyarat pada pukul 9.43 pagi Ahad.

"Video selama 33 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter @bckupacc99," kata Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson Deputi Superitendan Muhamad Mustafah Hussin. 

Baru-baru ini, wanita yang dirakam itu dikatakan bertindak demikian kerana risaukan kesihatan suami yang memandu kereta terbabit, lapor BH Online. 

Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wanita berkenaan, 32 tahun, yang tampil bersama suaminya yang berusia 58 tahun di Balai Polis Port Dickson pada Selasa (25 Apr). 

Encik Muhamad berkata, pasangan warga Indonesia itu tampil ke balai polis untuk memberikan penjelasan selepas menyedari mengenai video yang tular tersebut.

Mengulas lanjut, katanya, lelaki yang memandu Proton Wira terbabit dikatakan baru sahaja mendapat rawatan di Hospital Port Dickson akibat pelbagai penyakit dan isterinya sudah menasihati supaya tidak keluar dari rumah kerana risaukan akan kesihatannya.

Bagaimanapun, beliau berkata, lelaki terbabit tidak menghiraukan larangan itu dan tetap keluar dari rumah mereka untuk ke rumah anak mereka di Teluk Kemang, menurut BH Online. 

"Wanita berkenaan yang menyedari perkara itu terus membonceng motosikal ditunggang jiran sebelum mengesan suaminya di persimpangan lampu isyarat Batu 1 Jalan Pantai Port Dickson.

"Tanpa berlengah wanita terbabit menghalang kereta dipandu suaminya dan pada masa sama, aksinya itu dirakam sehingga video berkenaan tular di media sosial," katanya melalui kenyataan pada Selasa. 

Tambah Encik Muhamad, pasangan terbabit memohon maaf atas perbuatan dilakukan dan menyedari tindakan itu boleh membahayakan diri sendiri dan orang awam lain.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita