Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Akses AS di pangkalan Filipina bukan untuk 'serang' negara lain, kata Marcos

Anggaran Waktu Membaca:
WASHINGTON: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr pada Khamis (4 Mei) menegaskan persetujuannya untuk memberikan Amerika Syarikat (AS) akses kepada lebih banyak pangkalan tentera di negaranya bukan bertujuan untuk 'tindakan menyerang' mana-mana negara.

Bercakap kepada badan pemikir AS di Washington, Marcos berkata beliau sudah menyatakan perkara itu kepada pegawai China dalam rundingan baru-baru ini.

Beliau juga berkata, AS tidak meminta Filipina untuk menyediakan tentera sekiranya berlaku perang antara China dengan AS berhubung Taiwan.

Encik Marcos memberitahu Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, bahawa Perjanjian Kerjasama Pertahanan Dipertingkat (EDCA) 2014 yang membenarkan akses kepada pangkalan di Filipina diwujudkan untuk menangani kesan perubahan iklim.

"Menteri Luar China baru sahaja melawat saya. Saya memberitahu beliau dan memberi jaminan kepadanya (akses itu) bukan bertujuan menjadi pangkalan tentera untuk menyerang, untuk bergerak menentang sesiapa, mana-mana negara, bukan China, bukan mana-mana negara," katanya.

Beliau berkata penggunaan pangkalan EDCA untuk 'tindakan menyerang' akan berada di luar parameter yang dibincangkan Manila dengan AS dan menambah bahawa Washington tidak pernah mengemukakan kemungkinan bahawa ia akan digunakan sebagai 'kawasan' untuk tindakan menyerang mana-mana negara.

Hubungan Manila dengan Washington bertambah erat di bawah Marcos dan beliau memberikan akses tentera AS ke empat lagi pangkalan pada Februari, sesuatu yang disifatkan China sebagai 'memarakkan api' ketegangan serantau.

Sementara itu, pakar berkata AS melihat Filipina sebagai lokasi yang berpotensi untuk menempatkan roket, peluru berpandu dan sistem artileri untuk menentang pencerobohan China ke atas Taiwan, yang didakwa China sebagai wilayahnya sendiri.

Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin, berkata selepas mesyuarat Menteri Pertahanan dan Menteri Luarnya dan rakan sejawatan Filipina bulan lalu, adalah 'terlalu awal' untuk membincangkan aset yang ingin diletakkan oleh AS di pangkalan Filipina.
Sumber : Reuters/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan