Akibat tertelan gigi palsu, lelaki ini tidak dapat makan seperti biasa selama 3 tahun
Tertelan gigi palsu mungkin kedengaran lucu bagi sesetengah orang. Namun hakikatnya, ia boleh membawa padah berpanjangan...
Gambar fail gigi palsu dan berus gigi (Gambar: AFP)
CALCUTTA: Seorang lelaki India akhirnya boleh makan seperti biasa buat pertama kalinya dalam tempoh tiga tahun selepas tertelan gigi palsunya.
Deepak Nandi, seorang penduduk Calcutta berusia 46 tahun, terpaksa makan menggunakan tiub selepas gigi palsunya merosakkan paip saluran makanannya dan menyebabkan beliau tidak dapat menelan.
Keadaan itu juga menyebabkan pemilik kedai alat tulis yang pemalu itu terliur dan terpaksa 'memencilkan diri'.
3 BULAN TAHAN SAKIT
Pada tiga bulan awalnya Encik Nandi tidak mendedahkan insiden tersebut kepada sesiapa, namun keluarganya menjadi curiga kerana beliau enggan makan di hadapan mereka.
Encik Nandi, yang belum berkahwin, tinggal bersama abang dan emaknya.
Abangnya, Narayan Chandra Nandi, menceritakan kepada Daily Mail: "Pada tahun 2015 beliau pulang ke rumah dengan mengatakan beliau mengalami masalah pada tekaknya.
"Beliau mengadu rasa sakit di tekaknya dan enggan makan. Beliau enggan memberitahu apa masalahnya sehingga kami memaksanya untuk bercakap."
Selepas akhirnya mendedahkan bahawa beliau tertelan gigi palsunya, Encik Nandi dibawa ke pakar ENT yang memberitahu gigi palsunya tersendat pada kedudukan yang rumit dan disarankan mencari bantuan pakar di hospital awam.
Encik Nandi kemudian dibawa ke Kolej Perubatan dan Hospital Radha Gobinda Kar.
Namun selepas pembedahan awal, mereka dimaklumkan bahawa gigi palsunya mengakibatkan kerosakan teruk pada esofagus Encik Nandi.
"Ini bermakna akan ada kebocoran bila beliau cuba makan. Beliau tidak boleh berbual seperti biasa," kongsi abangnya seperti ditukil Daily Mail.
"Jika beliau cuba bercakap dengan kuat, air liur akan mencurah-curah."
Akibatnya, Encik Nandi berasa begitu malu sehingga jarang berbual, enggan keluar rumah malah menutup kedainya.
Namun selepas dua lagi prosedur tambahan awal tahun ini, saluran makanan Encik Nandi cukup luas untuk tiub suapannya dikeluarkan. Beliau kini beransur pulih dan akhirnya dapat mula menikmati hidangan yang enak-enak seperti sedia kala.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.