Akhbar tertua M'sia, Malay Mail, tidak lagi cetak akhbar
Selepas 122 tahun, Malay Mail, akhbar tertua di Malaysia yang wujud lebih lama daripada akhbar lain di Malaysia dan antara yang tertua di dunia, akhirnya mengalah dan mengeluarkan edisi surat khabarnya yang terakhir hari ini (1 Dis).
Edisi surat khabar terakhir Malay Mail. (Gambar: Malay Mail/Facebook)
KUALA LUMPUR: Selepas 122 tahun, Malay Mail, akhbar tertua di Malaysia yang wujud lebih lama daripada akhbar lain di Malaysia dan antara yang tertua di dunia, akhirnya mengalah dan mengeluarkan edisi surat khabarnya yang terakhir hari ini (1 Dis).
Akhbar yang terkenal dengan kewartawanan yang mantap dan pelbagai pendedahan eksklusifnya itu juga tiba ke hujung perjalanan yang panjang dan bersejarah apabila revolusi berlaku kepada industri media dengan perubahan teknologi yang berterusan.
Mulai esok (2 Dis), Malay Mail hanya akan boleh didapati secara dalam talian (online) dengan Ketua Pengarangnya Wong Sai Wan dalam mesej perpisahannya kepada pembaca akhbar tersebut meminta semua pihak, daripada pembaca dan juga pengiklan, untuk bersama-sama memulakan perjalanan barunya di mana mereka akan melakukan segalanya secara digital untuk memaklum, menghiburkan dan menjalankan promosi dalam dunia digital global.
Industri akhbar di seluruh dunia kini menghadapi tempoh masa paling sukar dan masa hadapan yang tidak menentu dalam sejarahnya. Banyak sudahpun menghentikan penerbitannya.
Sebelum ini, pengurangan kakitangan secara besar-besaran berlaku atau sedang dijalankan di beberapa akhbar utama.
INDUSTRI MEDIA CETAK TERUK TERJEJAS DEK TEKNOLOGI DIGITAL
Semalam (30 Nov), seramai 800 kakitangan Utusan Melayu Berhad, penerbit akhbar Melayu berpengaruh, mengucapkan selamat tinggal kepada syarikat mereka dalam satu majlis penuh emosi apabila mereka meninggalkan Utusan menerusi skim pemisahan sukarela (VSS).
(Gambar-gambar: Malay Mail/Facebook)
Di media lain, perkara yang sama dilaksanakan di Media Prima, kumpulan media terbesar, dan Star Media Group yang mengurangkan sekurang-kurangnya 1,000 kakitangan, dengan lebih ramai lagi dijangkakan pada masa hadapan.
Apa yang berlaku kepada industri media cetak dengan mudah disimpulkan oleh Encik Wong Sai Wan sendiri dengan kata-katanya: "Model perniagaan akhbar cetak bermasalah kerana ia bergantung kepada pengiklanan untuk terus hidup, dan ledakan akses maklumat secara digital menyebabkan kita tidak lagi berfungsi sebagai penyedia berita".
Beliau menambah, akhbar yang dicetak tidak ada sebab untuk terus berada dalam pasaran, kecuali melayani warga emas yang tidak boleh membaca tanpa medium berbentuk fizikal untuk mereka pegang.
Dengan golongan pembaca tersebut yang semakin berkurangan dan akan pupus, begitu juga nasib akhbar.
Penerbit Malay Mail Siew Ka Wei pula menyifatkan berakhirnya akhbar itu merupakan hari yang paling menyedihkan baginya.
PEMBERHENTIAN BERAMAI-RAMAI TIDAK BERBALOI DALAM ERA MAKLUMAT
"Saya suka Mail Melayu terutamanya halaman hadapannya, kerana kami menceritakan berita yang baik dan buruk juga yang berlaku di sekeliling kita. Kami tidak mempunyai pilihan. Tetapi saya percaya ‘nama’ itu akan kekal kukuh kerana kami mempunyai pasukan yang sangat baik untuk mengembangkannya secara digital. Surat khabar mempunyai masa depan yang sangat terhad dalam jangka masa yang masih ada,” kata Encik Siew, seorang ahli perniagaan terkemuka yang mengambil alih akhbar tersebut sembilan tahun lalu.
Pengakhiran penerbitan surat khabar Malay Mail turut dikongsi Encik Ahiruddin Atan, yang lebih dikenali sebagai Rocky, salah seorang perintis blogger negara yang mana blog ‘RockyBru’ merupakan antara yang paling meluas dibaca.
Encik Ahiruddin sendiri mencatatkan sejarahnya sendiri kerana pernah menjadi Editor Malay Mail bukan sekali, tetapi dua kali.
“Tentunya, saya sedih kerana Malay Mail tidak akan dicetak lagi. Secara peribadi, saya percaya mereka perlu meneruskan versi cetak kerana namanya masih lagi kukuh dan produk yang bagus. Tentunya mereka tidak akan menggunakan namanya jika ia tidak terkenal dan berdaya maju?,” tambahnya.
BERAKHIRNYA SEJARAH KEGEMILANGAN SURAT KHABAR
Bekas Pengerusi Media Prima Berhad Johan Jaafar mengambarkannya sebagai satu ironi masa hadapan yang gelap untuk surat khabar dan industri berkaitan dengan pemberhentian beramai-ramai sedangkan “kita hidup dalam era maklumat”.
"Industri media secara keseluruhan perlu merombak dirinya dan model perniagaannya perlu difikirkan semula,” kata Encik Johan, bekas Ketua Pengarang Utusan Melayu, sambil menambah sejarah kegemilangan surat khabar mungkin akan berakhir.
"Sebagai seorang yang menjadi wartawan selama 47 tahun, cetakan terakhir Malay Mail ini tentunya sesuatu yang menyedihkan. Bagi 24 jam yang lepas saya sudah meminta rakan-rakan dan kumpulan WhatsApp untuk menyimpan salinan terakhir ini.
Saya tidak pernah membeli dua salinan edisi hari yang sama tetapi saya memberitahu vendor berita saya untuk menempah 50 salinan dan 50 salinan lagi dari seorang rakan di Malay Mail untuk generasi akan datang."
Selamat tinggal Malay Mail!
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.