Akaun Twitter Narendra Modi digodam penipu kripto
Akaun Twitter Perdana Menteri India Narendra Modi digodam pada Ahad (12 Dis) dengan mesej yang mengisytiharkan negaranya menerima pakai bitcoin sebagai mata wang sah dan mengedarkan mata wang kripto kepada rakyat negara itu.
Perdana Menteri India, Narendra Modi. (Gambar: Prakash Singh/AFP)
NEW DELHI: Akaun Twitter Perdana Menteri India Narendra Modi digodam pada Ahad (12 Dis) dengan mesej yang mengisytiharkan negaranya menerima pakai bitcoin sebagai mata wang sah dan mengedarkan mata wang kripto kepada rakyat negara itu.
Encik Modi adalah seorang pengguna yang banyak memuat naik ciapan Twitter dan beliau tokoh politik paling popular di dunia di wadah media sosial tersebut, dengan lebih 73 juta pengikut di akaun utamanya.
Ciapan yang segera dipadamkan daripada akaun utamanya @narendramodi menyatakan bahawa pemerintah India sudah membeli secara rasmi 500 bitcoin dan mengedarkannya kepada semua penduduk negara itu. Satu pautan penipuan turut disertakan pada ciapan itu.
Ini adalah kali kedua salah satu daripada akaun Twitter Encik Modi digodam, selepas satu lagi diambil alih tahun lalu dengan ciapan yang menggesa orang ramai agar menderma kepada dana palsu bantuan koronavirus.
Penggodaman pada Ahad itu berlaku tatkala India bersiap sedia untuk mengekang perdagangan mata wang kripto yang berkembang pesat, dengan satu undang-undang baru mungkin akan diperkenalkan di Parlimen bulan ini.
Butiran undang-undang itu masih tidak jelas tetapi pemerintah sudahpun mengenakan larangan meluas terhadap mata wang digital swasta.
Pasaran kripto tempatan berkembang pesat sejak Mahkamah Tinggi India membatalkan larangan sebelum ini pada tahun lalu, dengan para pelakon Bollywood dan bintang kriket menjadi tarikan kempen iklan untuk bursa tempatan.
Encik Modi menegaskan bulan lalu bahawa mata wang kripto boleh "merosakkan belia" dan bank pusat sudahpun berulang kali memberi amaran ia boleh menimbulkan "keprihatinan serius terhadap kestabilan makroekonomi dan kewangan".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.