Skip to main content

Dunia

Akaun Trump Organization ditutup susuli semakan pencegahan pengubahan wang haram

Capital One Financial pada Jumaat (31 Jul) mempertahankan keputusannya menutup akaun bank milik Trump Organization beberapa tahun lalu dengan menyatakan tindakan itu dibuat selepas semakan oleh para pakar pencegahan pengubahan wang haram.

Anggaran Waktu Membaca:
Akaun Trump Organization ditutup susuli semakan pencegahan pengubahan wang haram

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berjalan untuk menaiki helikopter Marine One selepas tiba di Lapangan Terbang Perbandaran Morristown, Morristown, New Jersey, Amerika Syarikat, pada 31 Julai 2026. (Gambar fail: REUTERS/Daniel Heuer)

Diterbitkan : 03 Aug 2026 12:36PM
  • Capital One menutup akaun bank Trump Organization selepas semakan pakar pencegahan pengubahan wang haram, menafikan tindakan bermotifkan politik.
  • Trump Organization dan Eric Trump memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Miami pada Mac 2025, mendakwa penutupan akaun berpunca daripada diskriminasi politik.
  • Mahkamah telah menolak dua aduan tetapi membenarkan aduan dipinda, sementara Capital One mempertahankan keputusan berdasarkan garis panduan perbankan persekutuan.
  • Donald Trump turut mengambil tindakan undang-undang terhadap bank lain dan menandatangani perintah eksekutif pada Ogos 2025 untuk melarang diskriminasi dalam perkhidmatan kewangan.
Dijana oleh AI
SAN FRANCISCO: Capital One Financial pada Jumaat (31 Jul) mempertahankan keputusannya menutup akaun bank milik Trump Organization beberapa tahun lalu dengan menyatakan tindakan itu dibuat selepas semakan oleh para pakar pencegahan pengubahan wang haram.

Pendedahan itu merupakan kali pertama sebuah bank secara rasmi mengaitkan kebimbangan berhubung pengubahan wang haram dengan syarikat milik keluarga Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Capital One memohon agar saman tersebut ditolak dengan mempertikaikan dakwaan Trump Organization bahawa ia menjadi mangsa amalan "debanking" secara tidak sah, atau penafian perkhidmatan kewangan atas alasan agama atau politik.

Trump Organization dan Capital One tidak segera memberikan sebarang komen apabila diminta untuk berbuat demikian.

Capital One tidak pernah menuduh Trump Organization terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram.

Namun, dokumen yang difailkan pada 31 Julai menyatakan bahawa "dokumen dan dakwaan plaintif sendiri jelas menunjukkan Capital One menutup akaun plaintif atas sebab berkaitan pencegahan pengubahan wang haram (AML)."

Dokumen itu turut menyatakan: "Penutupan akaun tersebut adalah hasil analisis selama beberapa bulan dan semakan teliti oleh pasukan AML Capital One mengikut dasar bank serta panduan pihak pengawal selia."

Trump Organization dan anak lelaki Encik Trump, Eric Trump, memfailkan saman di sebuah mahkamah persekutuan di Florida pada Mac 2025.

Mereka mendakwa akaun berkenaan ditutup kerana pegangan "woke" (pegangan politik yang agresif) Capital One serta keinginannya untuk meraih manfaat daripada sentimen politik selepas rusuhan di Bangunan Capitol Amerika Syarikat pada 6 Januari 2021.

DAKWAAN 'TIDAK TEPAT': CAPITAL ONE

Mahkamah Persekutuan di Miami sudah menolak dua aduan dalam kes terhadap Capital One, namun memberi peluang kepada pihak plaintif untuk mengemukakan aduan yang dipinda setiap kali.

Menurut Capital One, versi terbaharu aduan yang difailkan pada Julai "masih mempunyai kelemahan asas yang sama seperti dua aduan terdahulu."

Dalam dokumen yang difailkan pada 31 Julai itu, Capital One menyifatkan dakwaan Trump Organization bahawa tindakan tersebut bermotifkan politik sebagai "tidak tepat" dan "berdasarkan petikan yang dipetik secara terpilih tanpa konteks penuh" dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah.

"Corak urus niaga yang dikenal pasti oleh Capital One adalah antara jenis aktiviti yang dikenal pasti dalam garis panduan perbankan persekutuan," menurut dokumen berkenaan.

Sejak permulaan penggal kedua Encik Trump sebagai presiden, pentadbirannya memberi tekanan kepada beberapa bank besar dengan mengulangi dakwaan golongan konservatif bahawa institusi kewangan sengaja menyasarkan pihak berhaluan kanan.

Encik Trump menandatangani satu perintah eksekutif pada Ogos 2025 yang melarang amalan "debanking" menerusi diskriminasi.

Pada Januari, Encik Trump turut memfailkan saman terhadap JPMorgan Chase atas alasan yang sama, sekali gus menyerlahkan persekitaran dasar yang mencabar yang sedang dihadapi Wall Street sepanjang penggal kedua pentadbirannya.

Pada 2019, semasa penggal pertamanya sebagai presiden, Encik Trump menyaman Capital One dan Deutsche Bank bagi menghalang kedua-dua bank tersebut daripada berkongsi rekod-rekod kewangan dengan Kongres sebagai sebahagian daripada siasatan yang diketuai anggota Parti Democrat.

Para karyawan pencegahan pengubahan wang haram di Deutsche Bank dilaporkan pernah mengenal pasti beberapa urus niaga untuk disiasat, namun pihak pengurusan mengabaikannya. Deutsche Bank ketika itu menafikan laporan tersebut.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita