Skip to main content

Dunia

Akaun Facebook BERSATU disabotaj, 4 pentadbir dipercayai terlibat

Anggaran Waktu Membaca:
Akaun Facebook BERSATU disabotaj, 4 pentadbir dipercayai terlibat
(Gambar: Bersatu)
Diterbitkan : 15 Feb 2026 01:36PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 01:37PM
KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa beberapa individu termasuk pegawai khas kepada mantan Timbalan Presiden parti terlibat dalam insiden sabotaj akaun Facebook rasmi BERSATU pada Sabtu (14 Feb).

Ketua Penerangan ARMADA BERSATU Harris Idaham Rashid dalam satu kenyataan pada Ahad (15 Feb) berkata, siasatan mendapati terdapat empat pentadbir yang mempunyai akses penuh ke atas akaun berkenaan ketika kejadian berlaku.

Mereka yang dipercayai terlibat dikenal pasti sebagai Ahmad Ikhwan Fadhli, Meor Naqiuddin Shamsudin, Fairus Amri Ibn Suaid dan Ahmad Syafiq Adham.

"Keempat-empat mereka memiliki akses kepada Content, Messages and Calls, Community Activity, Ads, Insights, Permissions, page deletion, menurut sumber Page Management History Facebook.

"Catatan berunsur sabotaj bermula pada 14 Feb 2026 jam 8.54 pagi dan berakhir pada jam 11.44 malam pada tarikh sama.

"Dalam hampir 15 jam itu, sebanyak 21 catatan telah dibuat oleh salah seorang pentadbir.

"Catatan tersebut jelas menonjolkan secara positif mantan Timbalan Presiden BERSATU dan sebaliknya terhadap Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Harris Idaham.

Selain itu, kenyataan tersebut turut mendedahkan tindakan awal bagi menguasai akaun telah dilakukan sehari sebelum kejadian.

“Pada 13 Feb 2026 antara jam 5.34 petang dan 5.35 petang, beberapa pentadbir rasmi akaun tersebut telah dikeluarkan,” katanya.

Individu yang dikeluarkan daripada akses pentadbiran termasuk Ketua Penerangan BERSATU, Faisal Ismail Aziz; Pegawai Media Presiden, Mohd Ikhmal Abu Bakar; Pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu ARMADA, Na’im Brundage; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Sanjeevan Ramakrishnan; serta dua Ahli Jawatankuasa Penerangan Pusat, Rio Rashid dan Frankie Ridz.

Bagaimanapun, ARMADA BERSATU memaklumkan keempat-empat individu yang terlibat telah berjaya dikeluarkan sepenuhnya daripada sebarang akses ke akaun Facebook rasmi parti pada pukul 12.41 tengah malam Ahad.

Pengurusan akaun tersebut kini dikatakan telah kembali sepenuhnya kepada pegawai-pegawai rasmi BERSATU.

ARMADA BERSATU menyifatkan insiden itu sebagai bukti kewujudan unsur pengkhianatan dalaman dan menegaskan komitmen mereka untuk mempertahankan kepentingan serta kelangsungan parti.
Sumber : Bernama/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita