Skip to main content

Dunia

Ajaran sesat Millah Abraham hasrat tubuh kerajaan sendiri di Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Ajaran sesat Millah Abraham hasrat tubuh kerajaan sendiri di Malaysia

(Gambar: iStock)

Diterbitkan : 18 Aug 2024 04:38PM
BATU PAHAT: Ajaran sesat Millah Abraham yang didapati mempunyai barisan 'jemaah menteri' cukup berisiko mengancam keselamatan dan keharmonian negara.

Exco Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kumpulan itu bercita-cita mahu menubuhkan kerajaan dan mempunyai kerajaan sendiri ala Millah Abraham.

“Hasil pemantuan dan risikan Jabatan Agama dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), mereka mempunyai struktur mereka sendiri dan sampai satu peringkat untuk menubuhkan negara dan kerajaan sendiri.

“Jadi kita tidak mahu pertubuhan ini bercambah dan keahlian mereka bertambah kerana mereka boleh mencetuskan perpecahan dan keharmonian negara.

“Kita bimbang menimbulkan sebarang kekecohan kerana mereka bercita-cita untuk menubuhkan sebuah negara ala Millah Abraham,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam Peringkat Kebangsaan ke-15 di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) di Batu Pahat, pada Ahad (18 Ogos).

Encik Mohd Fared berkata, kepimpinan ajaran sesat Millah Abraham wujud di seluruh negara dan diburu pihak berkuasa bagi mengekang kumpulan itu, lapor Sinar Harian.

Beliau seterusnya meminta agar orang ramai tidak menyimpan apa-apa bahan termasuk buku berkaitan Millah Abraham kerana ia menjadi kesalahan dibawah peruntukan undang-undang.

“Kita membuat pemantauan terhadap pengikut-pengikutnya atau mana-mana individu yang memiliki bahan-bahan cetakan, sebarang buku yang mengandungi ajaran tersebut jika tidak pasti nasihat saya jangan terima, simpan laporkan kepada jabatan agama ataupun PDRM,”katanya.

Pada Rabu (14 Ogos) lalu, seorang lelaki berusia lingkungan 45 hingga 50-an disyaki pengikut Millah Abraham bertaraf 'menteri' dalam hierarki ajaran sesat itu, ditahan dalam operasi bersepadu di Batu Pahat.

Sebelum itu, pada 6 Ogos lalu, seorang imam dan guru penolong kanan dilaporkan antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Batu Pahat, atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.
Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.

Ajaran yang difatwakan haram di Johor itu mempunyai kefahaman yang mana ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Menurut laporan Sinar Harian, mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita