Skip to main content

Dunia

Ajaran 'The Ahmadi' sesat, tegas badan agama Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Ajaran 'The Ahmadi' sesat, tegas badan agama Malaysia

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 01 Jan 2025 12:21PM Dikemas Kini : 01 Jan 2025 12:23PM
  • Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran 'The Ahmadi Religion of Peace and Light' adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.
  • Pengerusi jawatankuasa itu, Dr Nooh Gadot, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyerahkan pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI
  • Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT, kata Dr Nood Gadot.
  • Antara kepercayaan dan amalan ajaran berkenaan yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) memutuskan ajaran 'The Ahmadi Religion of Peace and Light' adalah sesat, menyeleweng dan bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Pengerusi jawatankuasa itu, Dr Nooh Gadot, berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyerahkan pandangan hukum berkenaan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-267 yang berlangsung 23 hingga Oktober lalu.

Dalam hal itu, beliau berkata Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang dipersetujui dan pihak berkuasa negeri boleh mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing, lapor Harian Metro.

"Mana-mana individu atau kumpulan orang yang mengamalkan dan menyebarkan fahaman, ajaran dan pegangan seumpama ini adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran ini serta dilarang berpegang dan beramal dengannya. Mana-mana orang Islam yang telah mengikut dan mengamalkan ajaran ini hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT.

"Apa-apa publisiti, pengajaran, penulisan, penyiaran dan penerbitan bahan bercetak audio visual atau apa-apa yang berkaitan dengan ajaran The Ahmadi Religion of Peace and Light adalah tidak dibenarkan dan hendaklah disekat," katanya dalam kenyataan pada Selasa (31 Dis), seperti dinukil laporan Harian Metro.

Dengan keputusan itu, Encik Nooh menegaskan umat Islam hendaklah berpegang kepada pegangan Ahli Sunah Waljamaah dari aspek akidah, berdasarkan manhaj Asyairah dan Maturidiah dari segi syariah berpandukan mazhab Syafie.

Menurutnya, ia termasuk berpandukan mazhab muktabar yang lain seperti Hanafi, Maliki dan Hanbali.

"Dari segi tasawuf/akhlak pula, harus berpandukan manhaj Imam al-Junaid, Imam al-Ghazali serta aliran tasawuf yang sahih dan muktabar," jelasnya.

Antara kepercayaan dan amalan ajaran berkenaan yang bercanggah dengan agama Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (imam syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.

Selain itu, pengikut ajaran berkenaan mendakwa Imam al-Mahdi iaitu Muhammad al-Hassan al-Askari mempunyai penolong atau ansar yang terdiri daripada 12 orang yang dianggap sebagai keturunannya secara maknawi/rohani.

Dalam masa sama, pengikut ajaran berkenaan menafikan konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum serta keseluruhannya yang termaktub dalam al-Quran dan al-Hadis.

 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita