Skip to main content

Dunia

Airbus A320 atasi Boeing 737 sebagai pesawat paling banyak dikeluarkan dan dijual dalam sejarah

Syarikat Airbus dari Eropah meraih satu pencapaian komersial yang besar pada Selasa (7 Okt) apabila pesawat dalam kumpulan A320 mengatasi Boeing 737 untuk menjadi pesawat jet penumpang paling banyak dikeluarkan dan dijual dalam sejarah.

Anggaran Waktu Membaca:
Airbus A320 atasi Boeing 737 sebagai pesawat paling banyak dikeluarkan dan dijual dalam sejarah

Bahagian fiuslaj pesawat dalam kumpulan Airbus A320 kelihatan di kemudahan Airbus di Montoir-de-Bretagne berhampiran Saint-Nazaire, Perancis, pada 1 Julai 2020. (Gambar fail: REUTERS/Stephane Mahe)

PRAGUE: Syarikat Airbus dari Eropah meraih satu pencapaian komersial yang besar pada Selasa (7 Okt) apabila pesawat dalam kumpulan A320 mengatasi Boeing 737 untuk menjadi pesawat jet penumpang
paling banyak dikeluarkan dan dijual dalam sejarah.

Rekod lama Boeing akhirnya diatasi selepas sebuah jet dihantar kepada syarikat penerbangan Arab Saudi, Flynas, menjadikan jumlah penghantaran keseluruhan sebanyak 12,260 sejak A320 mula beroperasi pada 1988, menurut data penanda aras daripada syarikat perunding yang berpangkalan di Britain, Cirium, yang digunakan secara meluas dalam industri penerbangan.

Airbus belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen mengenai data tersebut, yang dipantau oleh penganalisis pembekalan pesawat, Rob Morris.

Secara keseluruhan, Boeing dan Airbus sudah menghantar lebih 25,000 pesawat seumpamanya, yang pada asalnya direka untuk menghubungkan hab penerbangan utama tetapi kemudian digunakan secara meluas oleh syarikat penerbangan tambang jimat. Airbus mula menumpukan perhatian kepada pasaran tersebut selepas Boeing mengurangkan pengeluarannya berikutan kemerosotan permintaan menyusuli serangan 9/11.

Airbus kini merupakan pengeluar pesawat terbesar di dunia dari segi jumlah penghantaran tahunan, namun kejayaannya menembusi pasaran pesawat berbadan sempit ini menandakan kemuncak persaingan selama 40 tahun antara dua syarikat rentas Atlantik tersebut, menyusuli perbalahan awal mengenai strategi serta pembahagian pekerjaan antara negara rakan kongsi seperti Perancis, Jerman, Sepanyol dan Britain.

PERSAINGAN RENTAS ATLANTIK SELAMA BERDEKAD-DEKAD

A320 dilancarkan pada 1984 ketika ramai pihak meragui sama ada Airbus akan bertahan untuk satu dekad lagi selepas pelancaran yang mencabar bagi dua pesawat berbadan lebar. Pesawat berkenaan melakukan penerbangan sulungnya tiga tahun kemudian.

Jurutera Airbus di Toulouse, Perancis, mengambil risiko besar dengan memperkenalkan sistem kawalan komputer “fly-by-wire” buat pertama kali bagi pesawat komersial arus perdana, suatu teknologi perintis yang pada awalnya mendapat tentangan daripada kesatuan dan beberapa syarikat penerbangan, namun akhirnya diterima secara meluas.

Airbus kini sedang memperluas pengeluaran di Amerika Syarikat dan China.

Boeing sebelum ini menetapkan piawaian bagi pengeluaran pesawat badan sempit melalui model popularnya, 737, yang pertama kali diperkenalkan pada 1960-an. Namun syarikat itu berdepan krisis selepas dua nahas pada 2018 dan 2019. Boeing kini sedang memulihkan kadar pengeluaran secara berperingkat di bawah had pengawalseliaan.

Kedua-dua gergasi pesawat itu dijangka memperkenalkan model baharu dalam dekad akan datang, namun syarikat-syarikat tersebut memberitahu persidangan ISTAT di Prague pada Isnin bahawa pihaknya tidak mungkin memulakan pembangunan dalam masa terdekat sementara menunggu kemajuan teknologi enjin.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita