Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AirAsia X rancang tambah lebih banyak penerbangan ke Busan jelang akhir tahun

Anggaran Waktu Membaca:
BUSAN: AirAsia X Bhd (AAX), syarikat penerbangan gabungan jarak sederhana AirAsia Aviation Group, merancang untuk mengadakan tujuh penerbangan ke Busan setiap minggu menjelang akhir tahun bagi mengukuhkan kedudukannya di Korea Selatan.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat (3 Feb), Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benyamin Ismail berkata, syarikat penerbangan tersebut yang memulakan semula operasinya di bandar pelabuhan terbesar di negara itu pada Jumaat, kini mengendalikan tiga penerbangan secara terus setiap minggu dari Kuala Lumpur ke Busan.

“Busan memainkan peranan penting dalam merangsang permintaan baru dan mengukuhkan AAX sebagai peneraju pasaran di Asia Utara melalui tambang bernilai terbaik serta memacu persaingan yang lebih hebat dalam pasaran sejak memulakan laluan itu pada 2013.

“Oleh itu, kami menyasarkan untuk membawa lebih 200,000 tetamu ke dan dari Busan. Ia jauh lebih baik daripada tahap prapandemik pada 2019 sejurus pembukaan semula sempadan antarabangsa,” katanya sempena penyambungan semula penerbangan AAX ke Busan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada Jumaat.

Penerbangan sulung tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) pada pukul 2.10 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gimhae pada pukul 9.00 pagi.

“Kami akan terus mencari peluang pengembangan pada masa hadapan dan bekerjasama dengan Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO) untuk mempromosikan destinasi itu secara global dan menggiatkan industri pelancongan di Busan,” kata Encik Benyamin.

Busan ialah laluan AirAsia X kedua ke Korea Selatan selepas melancarkan penerbangan ke Seoul pada April tahun lalu.

Encik Benyamin yakin laluan syarikat penerbangan tambang rendah ke Busan itu akan dapat mencapai tahap 85 peratus faktor muatan untuk suku pertama tahun ini.

Memandangkan permintaan perjalanan meningkat semula, beliau berkata beberapa destinasi baru akan diperkenalkan, khususnya melibatkan rantau Asia Utara, termasuk bandar-bandar utama di China, Korea Selatan dan Jepun.

Sementara itu, Presiden BTO, Lee Jung-Sil berkata, memulakan semula perkhidmatan ini menyokong misi untuk membina asas pelancongan mampan dan menyokong sektor pelancongan Busan yang terkenal dengan sejarah, budaya, juadah serta seni tempatannya.

“Busan juga turut dinamakan sebagai salah satu daripada '25 Destinasi Pelancongan Terbaik di Dunia pada 2023' oleh National Geographic berikutan bandarnya yang mempunyai budaya dan tawaran pelancongan yang menakjubkan.

“Kami sentiasa bersedia untuk menerima pelawat Malaysia yang datang ke sini dan kami terus meningkatkan lagi tempat solat untuk orang Islam,” katanya.
Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan