Skip to main content

Dunia

AirAsia X lancar laluan KL-Bahrain-London, tubuhkan hab Timur Tengah

AirAsia X Malaysia pada Rabu (11 Feb) mengumumkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke Lapangan Terbang Gatwick di London, dalam langkah terkini syarikat penerbangan tambang jimat itu untuk mengembangkan operasi globalnya.
Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia X lancar laluan KL-Bahrain-London, tubuhkan hab Timur Tengah
Bahagian ekor pesawat AirAsia X dilihat di Garuda Maintenance Facility AeroAsia di Tangerang, Indonesia, pada 20 September 2017. (Gambar: REUTERS/Beawiharta)
Diterbitkan : 11 Feb 2026 02:21PM
KUALA LUMPUR: AirAsia X Malaysia pada Rabu (11 Feb) mengumumkan laluan antarabangsa baharu yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Bahrain dan seterusnya ke Lapangan Terbang Gatwick di London, dalam langkah terkini syarikat penerbangan tambang jimat itu untuk mengembangkan operasi globalnya.

Perkhidmatan yang dijadualkan bermula pada Jun itu akan menjadikan Bahrain sebagai hab pertama AirAsia X di luar Asia, memanfaatkan lokasinya untuk menghubungkan Asia Tenggara, Timur Tengah dan Eropah, menurut kenyataan syarikat berkenaan.

Langkah itu diambil selepas syarikat penerbangan tambang jimat terbesar Asia itu pada bulan lalu melengkapkan pengambilalihan perniagaan penerbangan jarak dekat daripada syarikat induk Capital A, sekali gus menyatukan tujuh syarikat penerbangan kumpulan tersebut di bawah satu jenama.

Ia juga menandakan kemunculan semula syarikat itu ke ibu kota Britain tersebut lebih sedekad selepas ia menggantung khidmat penerbangan tanpa henti dari Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Gatwick dan Stansted dan juga khidmat pesawat jarak jauh Airbus A340 dihentikan.

Laluan penerbangan Kuala Lumpur-Bahrain-London akan dikendalikan oleh pesawat A330 AirAsia X sebagai sebahagian daripada usaha memperluas operasi antarabangsa.

Syarikat penerbangan itu melancarkan penerbangan dari Kuala Lumpur ke Istanbul pada November lalu.

AirAsia X yang berpangkalan di Malaysia, dengan rangkaian meliputi lebih 150 destinasi dan 255 pesawat dalam armadanya, sedang meneroka pilihan untuk membiayai semula kira-kira AS$600 juta (S$758.82 juta) dalam bentuk hutang.

Reuters melaporkan bulan lalu, memetik sumber industri, bahawa Airbus hampir memeterai satu perjanjian besar untuk menjual sekitar 100 pesawat A220 lebih kecilnya kepada AirAsia, dengan pilihan tambahan 50 pesawat.

Pengasas bersama kumpulan syarikat penerbangan itu, Tony Fernandes berkata pada Jun lalu bahawa syarikat berkenaan bersedia memperluas armadanya dengan memperoleh pesawat lebih kecil bagi menyokong destinasi-destinasi baharu, manakala Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Farouk Kamal, berkata pada bulan lalu bahawa pihaknya sedang membuat pertimbangan untuk menempah lagi 150 pesawat.

AirAsia, antara pelanggan terbesar syarikat pembuat pesawat Eropah itu, mengendalikan armada yang dibentuk Airbus dengan sepenuhnya dan sudah menempah lebih 350 pesawat A320.

Pada Julai lalu, ia bersetuju membuat tempahan awal 50 pesawat A321XLR jarak lebih jauh.

Ditubuhkan pada 2001 dengan hanya dua buah pesawat, AirAsia menerajui pembangunan syarikat penerbangan tambang jimat di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, sekatan perjalanan akibat pandemik memberi kesan besar kepada syarikat induknya, Capital A, yang diklasifikasikan sebagai syarikat yang sedang berdepan isu kewangan di bawah rangka kerja PN17 Malaysia.

Encik Fernandes, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, berkata dalam satu kenyataan pada bulan lalu bahawa kumpulan itu sudah menamatkan pelan penstrukturan semula PN17.

Penyatuan semua perniagaan penerbangan berjenama AirAsia di bawah AirAsia X dijangka membantu syarikat penerbangan itu memberi tumpuan kepada pengembangan operasi dan pengurangan kos, sementara Capital A menumpukan perhatian kepada pemulihan kedudukan kewangannya.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita