Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

AirAsia umum penerbangan SG-Sibu bermula 16 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
AirAsia umum penerbangan SG-Sibu bermula 16 Dis

Gambar fail pesawat-pesawat AirAsia di KLIA pada Sept 2020 (Gambar: REUTERS/Lim Huey Teng)

SINGAPURA: Syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Malaysia, AirAsia mengumumkan khidmat penerbangan antara Singapura dengan Sibu, Sarawak sempena Pesta Sarawak yang diadakan di Singapura buat julung-julung kalinya pada Selasa (22 Nov), anjuran Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS).

Khidmat itu menawarkan empat penerbangan setiap minggu, iaitu pada setiap hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

Ia merupakan laluan ketiga AirAsia yang menghubungkan Singapura dengan Sarawak, menyusuli kejayaan laluan Singapura-Kuching dan Singapura-Miri yang dilancarkan pada April.

Penerbangan ulang-alik antara Singapura dengan Sibu akan bermula pada 16 Dis 2022.

"Sejak kami mengumumkan laluan Singapura-Sibu pada minggu lalu, kami menerima respons memberangsangkan daripad kedua-dua pihak, terutamanya golongan peniaga, para penduduk yang mempunyai keluarga di kedua-dua destinasi serta para pelancong dan pelawat," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Malaysia Riad Asmat dalam kenyataan bersama hari ini.

Beliau berkata AirAsia mengalu-alukan kerjasama rapat dengan STATOS dan Kementerian Pengangkutan Sarawak, Kementerian Pelancongan Sarawak, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Lembaga Pelancongan Sarawak dan semua pihak berkepentingan serta rakan-rakan pelancongan di Sarawak dan Singapura kerana menjayakan laluan tersebut.

Encik Riad juga mengumumkan AirAsia akan menambah penerbangan Singapura-Kuching kepada 11 kali seminggu dan lima kali seminggu bagi penerbangan Singapura-Miri mulai Disember.

Harga tambang promosi serendah S$74 bagi penerbangan sehala dari Singapura ke Sibu boleh ditempah menerusi aplikasi dan laman web AirAsia mulai sekarang hingga 27 Nov 2022, sementara tambang penerbangan dari Sibu ke Singapura bermula dari RM99.

Tempoh perjalanan bagi harga tambang promosi itu adalah antara 16 Dis 2022 hingga 28 Mac 2023.

Pesta Sarawak yang dianjurkan oleh STATOS diadakan antara 21 hingga 27 Nov 2022 dan menampilkan 31 peserta daripada sektor pelancongan dan perniagaan Sarawak.

Para pengunjung yang membeli pakej wisata ke Sarawak semasa acara tersebut boleh mengambil bahagian dalam cabutan bertuah untuk memenangi hadiah-hadiah tajaan bernilai sekitar S$40,000, termasuk 16 tiket penerbangan ulang-alik AirAsia ke Sibu, Kuching dan Miri.

Turut menjadi rebutan adalah baucar resort dan hotel, baucar potongan harga bagi pakej pelancongan dan sampel produk, termasuk sarang burung dan lada hitam Sarawak yang dikenali di seluruh dunia.

Sumber : Bernama/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan