Skip to main content

Dunia

AirAsia tawar penerbangan langsung ke Kepulauan Andaman dan Nikobar

AirAsia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama menawarkan penerbangan terus ke Andaman and Nicobar Islands.

Anggaran Waktu Membaca:
INDIA: AirAsia menjadi syarikat penerbangan antarabangsa pertama menawarkan penerbangan terus ke Andaman and Nicobar Islands.

Pengarah Urusan AirAsia Malaysia Kapten Fareh Mazputra berkata laluan baharu dari Kuala Lumpur itu menandakan usaha berterusan pihaknya untuk terus memperkukuhkan kehadiran syarikat di India. 

“Ini adalah pencapaian penting dalam usaha berterusan kami memperkukuh kehadiran di India, antara pasaran terbesar dan paling berkembang bagi AirAsia," katanya di majlis perasmian penerbangan pertama AirAsia ke Kepulauan Andaman dan Nikobar pada Sabtu (16 Nov).

“Visi dan misi kami adalah terus meningkatkan kesalinghubungan dengan tambang berpatutan di seluruh Asia."

Kepulauan Andaman dan Nikobar ialah wilayah kesatuan India yang terletak di Lautan Hindi, di kawasan selatan Teluk Benggala.

Kepulauan itu terletak di antara Teluk Benggala dan Lautan Andaman.

Kapten Fareh berkata laluan baharu AirAsia itu juga menyokong sasaran pemerintah India untuk menarik lebih 10 juta pelancong antarabangsa ke negara itu menjelang akhir tahun ini.

Penerbangan sulung AirAsia dari Kuala Lumpur mendarat pada kira-kira 10.30 pagi waktu tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Veer Savarkar, yang sebelum ini dikenali sebagai Port Blair, iaitu ibu kota Kepulauan Andaman dan Nikobar.

AirAsia menawarkan lebih 1,000 tempat duduk dengan kekerapan enam penerbangan ulang-alik pada setiap minggu - pada hari Selasa, Khamis dan Sabtu bagi memudahkan perjalanan pelancong dari kedua-dua negara.

Kepulauan Andaman dan Nikobar terkenal dengan keindahan pantai dan kehidupan marin, menjadikannya antara destinasi utama pencinta alam semula jadi.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita